Hari kelima protes di Asia Barat bantah keputusan Trump


Penyokong gerakan Hezbollah di Lubnan turut mengadakan protes terhadap Donald Trump yang isytihar Jerusalem sebagai ibu kota Israel, berarak di Beirut semalam. – Gambar AFP, 12 Disember, 2017.

TUNJUK perasaan di Asia Barat memasuki hari kelima semalam manakala Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump terus-terusan dikecam susulan isu Baitulmaqdis.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pula dilaporkan mengadakan pertemuan dengan menteri-menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) dengan menyifatkan ia tindakan bersejarah yang memungkinkan keamanan diperoleh sedangkan pada masa sama, ratusan ribu penduduk mengadakan tunjuk perasaan di Lubnan.

Netanyahu berkata semua atau sebahagian besar pemimpin EU perlu mencontohi pendirian AS.

Kenyataan beliau itu bagaimanapun mendapat reaksi keras ketua dasar asing EU, Federica Mogherini yang meminta Netanyahu menyimpan pendapat berkenaan untuk dirinya sendiri.

Di Kaherah, Presiden Rusia Vladimir Putin berkata pengumuman Trump itu merosakkan kestabilan di rantau itu dan turut menggesa rundingan Israel-Palestin yang sekian lama tertangguh diadakan semula.

Selesai pertemuan dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Ankara semalam, Putin berkata pengisytiharan Trump boleh menggugat usaha damai yang cuba diwujudkan di rantau berkenaan.

Pada sidang media bersama, Erdogan berkata beliau dan Putin mengambil pendekatan sama dalam isu berkenaan dan menuduh Israel cuba mencurah minyak ke api.

Erdogan setakat ini dilihat sebagai antara pemimpin asing yang paling lantang memberi amaran susulan tindakan Trump itu. – AFP, 12 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen