Shafie bakal lawan anak buah di PRN Sabah


Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal akan bertembung dengan anak saudaranya dalam PRN Sabah kali ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2020.

PENGUMUMAN calon pilihan raya negeri (PRN) Sabah oleh parti utama semalam menyaksikan Warisan Plus, mengambil strategi mengekalkan muka lama di kawasan yang menjadi kubu kuatnya, meliputi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pantai Timur Sabah.

Berdasarkan rekod menyapu bersih semua kerusi dalam Parlimen Semporna pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Warisan dilihat mengekalkan penyandang sebagai calon bagi tiga kerusi iaitu Ketua Wanita Warisan Semporna Manis Muka Mohd Darah (Bugaya), Naib Presiden Parti Warisan Sabah Jaujan Sambakong (Sulabayan) dan presiden parti Mohd Shafie Apdal sendiri yang mempertahankan kerusi DUN Senallang.

Shafie antara lain bakal dicabar calon Perikatan Nasional (PN) yang juga anak buahnya sendiri, Norazman Utoh Nain yang juga naib ketua Bersatu Bahagian Semporna.

Pada PRU14 lalu, kerusi DUN berkenaan turut menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Shafie dengan sepupunya, calon Barisan Nasional (BN) Nasir Sakaran, dengan keputusan memihak kepada Shafie yang memperoleh 7,754 undi.

Ketika dihubungi Bernama, Norazman, 45, berkata, walaupun berstatus muka baharu, tiada istilah gentar dalam kamus hidup beliau walaupun perlu berhadapan dengan Shafie, yang juga rakan seperjuangannya ketika bersama dalam Umno sebelum ini.

“Bapa saya dengan Shafie ini dua pupu, saya panggil dia pakcik.

“Saya tidak boleh mendabik dada dan yakin saya boleh menang, tapi saya yakin insya-Allah kerja keras sudah pasti akan membuahkan hasil,” katanya.

Selain di Parlimen Semporna, Warisan turut mengekalkan penyandang sebagai calon di kerusi DUN di bawah Parlimen Lahad Datu iaitu Dumi Pg Masdal (Silam), Norazlinah Arif (Kunak) dan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan, Assafal P Alian (Tungku).

Turut mencuri tumpuan ialah apabila Ahli Parlimen Lahad Datu (sebelum ini Parlimen Silam) yang juga bekas menteri pelancongan, seni dan budaya, Mohammadin Ketapi diumum sebagai calon bagi kerusi baharu DUN Segama, satu daripada 13 DUN baharu di Sabah.

Sementara itu, penganalisis politik Sabah, Dr Syahruddin Awg Ahmad berkata, ada dua sebab utama mengapa Warisan bertindak mengekalkan muka lama sebagai calon iaitu faktor sokongan yang masih kuat di peringkat akar umbi terhadap parti itu serta faktor kekeluargaan dan kekerabatan di kawasan berkenaan.

“Sentimen pengundi agak berbeza, mereka lebih selesa sekiranya individu yang mereka sudah kenali menjadi wakil rakyat. Mereka akan pilih calon bukannya parti.

“Sementara itu, pemimpin Warisan negeri juga mahu calon yang sudah biasa bekerja sesama mereka kerana mereka sudah ada network sesama sendiri dan ini akan memudahkan kerja mereka kelak,” katanya.

Mengulas mengenai strategi Barisan Nasional (BN) yang meletakkan banyak muka baharu kali ini pula, Syahruddin yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, ia bagi mendengar suara akar umbi yang mahukan pembaharuan serta cuba memberi nafas baharu kepada parti itu.

“Ia selaras dengan autonomi diberikan oleh BN pusat,” katanya.

Warisan turut bertanding di kesemua tiga kerusi di bawah Parlimen Tawau serta empat kerusi di bawah Parlimen Kalabakan, dengan turut menamakan semula calon yang kalah pada PRU14 lepas seperti Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Andi Rus Diana Andi Paladjareng (Balung) selain mengekalkan Ketua Warisan Kalabakan Sariffudin Hata sebagai calon di kerusi DUN Merotai. – Bernama, 11 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen