3 pegawai imigresen direman disyaki rasuah


Kalidevi Mogan Kumarappa

Tiga pegawai Jabatan Imigresen ditahan reman lima hari selepas disyaki menerima suapan bagi mempercepatkan proses pengeluaran pas kepada warga asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2020.

TIGA pegawai Jabatan Imigresen ditahan reman lima hari selepas disyaki menerima suapan bagi mempercepatkan proses pengeluaran pas kepada warga asing untuk kembali ke negara asal tanpa melalui Sistem Temujanji Online (STO).

Perintah tahanan reman sehingga 14 September itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Menurut sumber, tiga pegawai Imigresen yang berusia 33 hingga 35 tahun itu ditahan antara jam 12 tengah hari hingga 5.50 petang di Pejabat SPRM Putrajaya semalam ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, kegiatan tersebut dipercayai beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.

“Modus operandi pegawai Imigresen terbabit adalah berurusan dengan orang tengah bagi menguruskan pengeluaran pas bagi warga asing yang tinggal melebihi tempoh di negara ini untuk kembali ke negara asal mereka.

“Sebagai balasan, suapan antara RM300 hingga RM500 akan diterima bagi setiap pas yang dikeluarkan tanpa melalui STO,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya Hasbilah Mohamad Salleh mengesahkan penahanan tiga suspek itu.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009,” katanya. – 10 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen