.jpg)
MORATORIUM akan berakhir pada hujung bulan September, ramai yang harus memulakan pembayaran hutang di bank masing-masing. Morotorium bersasar yang akan fokus kepada dua jenis peminjam iaitu yang telah kehilangan pekerjaan dan menerima pengurangan gaji akibat daripada pandemik Covid-19.
Namun, adakah cukup jika kita sekadar melihat kepada dua jenis peminjam dalam memberi lanjutan moratorium?
Pelbagai sentimen yang kita dengar seperti yang akan mengurangkan perbelanjaan bulanan, meminjam, atau sebagainya bagi menyelesaikan hutang bank. Bagaimana jika bukan tergolong di antara dua kategori ini, namun tidak mampu untuk membayar hutang bank?
Golongan B40 merupakan golongan yang paling terkesan akan pandemik Covid-19. Walaupun, mereka tidak berhadapan dengan potongan gaji atau kehilangan pekerjaan mereka banyak terkesan seperti contohnya kebanyakan mereka telah menggunakan wang simpanan semasa PKP.
Kebanyakan dari mereka terpaksa bergantung harap kepada organisasi NGO untuk mendapatkan bekalan makanan. Golongan B40 juga banyak terjejas semasa kerana jenis pekerjaan yang tidak membolehkan mereka bekerja dari rumah.
Berdasarkan penyelidikan daripada Khazanah Research Institute (KRI) sebanyak 23% ketua keluarga daripada keluarga B40 adalah berumur 60 ke atas, jika hanya 8.7% jika dibandingkan dengan golongan T20. Ini bererti, ketua keluarga B40 lebih berisiko untuk mendapat penyakit dan keberangkalian lebih susah untuk bekerja kerana faktor umur.
Malahan, kebanyakan ramai dari golongan B40 ini, bekerja buruh atau “blue collar job” yang menggunakan tenaga kudrat yang banyak. Bayangkan berapa pekerjaan yang harus mereka lakukan untuk menyara keluarga dan membayar hutang bank pada waktu yang sama?
Tidakkah ibarat pepatah sudah jatuh kemudian ditimpa tangga.
Selain itu, golongan B40 yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) telah dikecualikan daripada membayar sewa selama tempoh enam bulan. Bagaimana golongan tersebut ingin membayar sewa dan pinjaman bank menjelang September?
Sudah tentunya mereka akan mengalami kesusahan untuk membuat pembayaran kedua-duanya.
Dalam pada itu, kita juga tahu berdasarkan laporan dari Unicef yang lepas, terdapat peratus tinggi bagi kekurangan zat makananan pada kanak-kanak yang tinggal di PPR. Sebanyak 22% kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke bawah mengalami pertumbuhan terbantut, 15% kekurangan berat badan, dan 23% mengalami masalah kegemukan/obesiti.
Masalah zat pada kanak-kanak ini amat serius jika kita lihat pada ketika PKP, kerana jumlah pembelian telur dan beras telah bertambah. Aspek nutrisi tidak lagi penting dan yang penting hanya untuk mengelakkan anak-anak ini dari berasa lapar.
Jika ramai ibu bapa yang terpaksa berhempas pulas untuk menghabiskan wang membayar hutang bank, bagaimana nasib anak-anak ini?
Ramai juga ahli ekonomi yang telah menggalakkan pertambahan belanjawan tahun ini, bagi golongan B40. Jelas sekali menunjukkan mereka memerlukan lebih banyak perhatian dan bantuan berbanding sebelum pandemik Covid-19.
Jadi, apa salahnya moratorium dijadikan salah satu cara bagi membantu golongan B40? Kita tidak mahu tragedi ngeri kes bunuh diri di Bandar Kinrara pada suatu masa lalu berulang kembali. Ini kerana masalah kewangan mampu memberikan impak fizikal dan kesan psikologi pada seseorang.
Janganlah pihak bank berasa bahawa moratorium ini hanya kebaikan untuk rakyat sahaja, ia juga telah membantu pihak bank kerana tanpa moratorium ramai yang tidak akan mampu membayar dan ini akan meningkatkan jumlah kerugian pihak bank apabila ramai peminjam tidak mampu membayar hutang. Jadi ini adalah situasi win-win bagi kedua-dua belah pihak.
Pihak bank dapat mengurangkan jumlah non-performing loans (NPL) atau pinjaman yang tidak berbayar yang jika jumlahnya tinggi akan menyusahkan pihak bank pada akhir nanti.
Kita perlu sedar bahawa krisis yang terjadi ini bukanlah disebabkan oleh rakyat, jika mereka tidak mampu membayar mereka seharusnya tidak patut dikenakan penalti. Kenapa rakyat harus mengambil tanggungjawab atas sesuatu yang bukan disebabkan oleh mereka?
Apalah gunanya kerajaan yang tidak mampu membantu rakyat?
Sudah sememangnya tugas kerajaan untuk membantu rakyat terutamanya dalam keadaan ini. Meskipun pihak bank mungkin akan mengalami kerugian namun ini merupakan pelaburan jangka masa panjang kerana golongan inilah yang akan membayar gaji dan keuntungan mereka nanti.
Dapatkah bank bertahan tanpa rakyat?
Jurang pendapatan bagi golongan yang kaya dan miskin di negara ini amatlah membimbangkan. Jadi jika golongan B40 ini tidak dibantu dan dipanjangkan tempoh moratorium, jurang ini akan diluaskan lagi.
Jurang ini sangat bahaya kerana ia boleh mewujudkan ketidakstabilan di dalam sektor kewangan dan politik, mendorong pergolakan sosial, dan menyumbang kepada kemelesetan ekonomi negara. – 9 September, 2020.
* Sophie Shakur adalah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen