Kabinet setuju kenyataan timbalan menteri terhadap Veveonah tidak wajar


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata ia turut sedar sambung talian Internet masih menjadi masalah di kawasan pedalaman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2020.

KABINET mendapati komen oleh dua timbalan menteri mengenai pelajar Sabah, Veveonah Mosibin tidak wajar dan mengakui sambungan Internet masih menjadi masalah di kawasan pedalaman, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri sains, teknologi dan inovasi menulis di Twitter yang mesyuarat Kabinet awal hari ini membincangkan kekecohan berhubung pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) berusia 18 tahun yang menyiarkan videonya di YouTube memanjat pokok untuk mendapatkan sambungan Internet bagi membolehkannya mengambil peperiksaan dalam talian.

“Kabinet ambil maklum kenyataan dua Timbalan Menteri tidak betul & tidak wajar. Kabinet setuju isu sebanar adalah capaian internet & kemudahan asas lain khusus di pedalaman. Kerajaan akan usaha sebaik mungkin untuk perbaiki,” kata Khairy di Twitter.

Dua timbalan menteri dimaksudkan adalah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin dan Timbalan Menteri Kewangan I Abdul Rahim Bakri, yang kedua-duanya berkata Veveonah berpura-pura mengambil peperiksaan.

Zahidi pertama kali membuat dakwaan itu di Dewan Negara minggu lalu, apabila berkata Veveonah menyiarkan videonya untuk mendapatkan perhatian.

Beliau kemudian meminta maaf, tetapi menyalahkan Rahim, yang katanya memberi maklumat itu.

Sementara itu, Rahim dalam catatan Facebook berkata sudah memeriksa dakwaan Veveonah mengenai sambungan Internet yang teruk dengan berjumpa ketua kampung dan ahli fakulti UMS yang tidak disebutkan namanya, dan berkata tiada ujian seperti itu pada Jun ketika Veveonah membuat dan menyiarkan videonya.

Beliau kemudian memadamkan postingnya.

Kedua-dua timbalan tersebut dikritik pengguna media sosial dan ahli Parlimen pembangkang kerana tidak tahu mengenai sambungan Internet yang lemah di kawasan luar bandar Sabah.

Bekas menteri pelancongan Sabah Masidi Manjun semalam menulis di Twitter yang Veveonah memang mengambil ujian dalam talian ketika duduk di atas pokok, selepas memeriksa dengan ketua program sains asas UMS. – 9 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen