Syarikat kerajaan Terengganu sudah 3 tahun tak hantar penyata kewangan, kata senator


Elill Easwaran

Apa guna pengarah dibayar gaji mahal tetapi syarikat tak patuh undang-undang, kata Senator Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2020.

SYARIKAT milik kerajaan negeri, Terengganu Development and Management Bhd (TDM) gagal menghantar penyata kewangan tahunan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sejak beberapa tahun lalu, kata Senator Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

TDM dipercayai gagal menghantar penyata kewangan tahunan untuk tahun 2017, 2018 dan 2019 yang merupakan kesalahan di bawah Akta Syarikat, katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Syarikat yang mempunyai pelaburan dalam sektor perladangan dan fasiliti kesihatan juga tidak menghantar laporan audit kewangan untuk 2019, katanya, memetik maklumat SSM.

Pengerusi Amanah Terengganu itu mempersoalkan bagaimana situasi ini boleh berlaku sedangkan ahli lembaga pengarah syarikat dibayar gaji tinggi dan sepatutnya menjalankan tugas dengan profesional.

“Apa perlunya lantik orang luar dalam banyak syarikat berkaitan kerajaan dengan gaji lumayan jika mereka tidak ada kepakaran.

“Sangat menyedihkan bila ramai penduduk Terengganu tidak bekerja, mereka yang dilantik sebagai pengarah GLC pula bukanlah orang tempatan atau penduduk negeri,” katanya.

Raja Kamarul Bahrin menambah yang menteri besar Terengganu dan pengerusi TDM perlu bertanggungjawab atas masalah ini.

Beliau turut mendesak SSM tidak tunduk kepada tekanan atau takut untuk mendenda mereka yang bertanggungjawab kerana kegagalan kepatuhan undang-undang dibuat TDM. – 9 September, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen