Najib khianati negara, kata hakim


Kamles Kumar

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata kes Najib Razak adalah kes salah guna kuasa paling serius dalam sejarah Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2020.

PERBUATAN Najib Razak menyalahguna kuasanya menyeleweng RM42 juta dari SRC International ke dalam akaun peribadi mengkhianati negara, sekaligus menjadikan beliau perdana menteri Malaysia pertama yang didakwa dan disabitkan bersalah.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata kes Najib adalah kes salah guna kuasa paling serius dalam sejarah Malaysia, maka hukuman yang dijatuhkan harus menjadi pengajaran.

“Atas sebab itu, saya menganggap pensabitan tertuduh atas salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai kesalahan paling serius antara ketiga-tiga kesalahan itu memandangkan kedudukannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan negara ketika kesalahan dilakukan,” kata Nazlan dalam penghakiman bertulisnya setebal 536 muka surat.

Nazlan berkata kes menjadi lebih serius apabila Najib meluluskan pinjaman RM4 bilion dari dana persaraan perkhidmatan awam Malaysia kepada SRC semasa beliau jadi perdana menteri.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai mensabitkan Najib bersalah atas semua tujuh tuduhan salah guna kedudukan, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International.

Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana penyalahgunaan kuasa dan 10 tahun bagi setiap 3 tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang.

Mahkamah bagaimanapun mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak, bermakna Najib dipenjarakan hanya 12 tahun. – 9 September, 2020.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen