Polis siasat Zawawi isu Injil


Kalidevi Mogan Kumarappa

Nik Muhammad Zawawi Salleh menimbulkan kemarahan penganut Kristian apabila berkata alkohol dibenarkan dalam Kristian kerana kitab Injil diubah suai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2020.

POLIS sudah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh Muhammad Zawawi Salleh berhubung kenyataan kitab Injil.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pihaknya menerima beberapa laporan polis berhubung isu itu termasuk di Sarawak. 

“Polis sudah menerima laporan, kertas siasatan juga sudah dibukan dan keterangan saksi kini dijalankan.

“Kami kini menunggu laporan dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan medium yang digunakan untuk menularkan video berkenaan,” katanya pada sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.. 

Menurutnya, sebaik sahajalaporan SKMM itu diterima, kertas siasatan boleh dilengkapkan dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara. 

Pada Ogos lalu tiga ahli DAP Sarawak membuat laporan polis terhadap Zawawi berhubung isu kenyataannya berkenaan kitab Injil.

Laporan itu dibuat oleh Brolin Nicholson yang merupakan pembantu khas kepada pengerusi DAP Sarawak, Ahli Parlimen Stampin Julian Tan dan anggota Pemuda DAP negeri Anthony Chin di Balai Polis Sekama di Kuching.

Ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat minggu lalu, Zawawi berkata tiada agama membenarkan penganutnya meminum arak.

Beliau kemudian dicelah oleh Ngeh Koo Ham yang berkata kenyataan Zawawi itu tidak tepat dengan memberitahu agama lain membenarkan minum arak tetapi tidak memabukkan.

Zawawi bagaimanapun ketika itu mempertahankan kenyataannya dan berkata kitab Injil “dipesongkan atau diubah”.

Susulan itu, Persatuan Gereja di Sarawak menggesa Zawawi menarik semula kenyataannya itu dan memohon maaf, selain menyifatkannya sebagai tidak sensitif dan melanggar Perlembagaan Persekutuan. – 9 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen