Adun Bersatu dalam dilema menjelang pilihan raya negeri Sarawak


Desmond Davidson

Ali Biju pertama kali menang kerusi Kerian dalam pertarungan empat penjuru yang menyaksikannya mengalahkan penyandang Peter Nyarok Entrie dengan lebih 2,000 undi. – Gambar Facebook, 10 September, 2020.

BEKAS Adun PKR Ali Biju berada dalam situasi sukar selepas Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg tidak memperuntukkan kerusi kepada parti Perikatan Nasional (PN) dari Semenanjung pada pilihan raya negeri akan datang.

Jika beliau mempertahankan kerusi berkenaan, Adun Kerian dua penggal itu perlu berdepan kekuatan jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ali menang kerusi majoriti Dayak itu atas tiket PKR pada pilihan raya 2011 dan 2016.

Beliau yang enggan memberi ulasan mengenai kesulitan dihadapinya, pertama kali menang kerusi itu dalam pertarungan empat penjuru yang menyaksikannya mengalahkan penyandang Peter Nyarok Entrie dengan lebih 2,000 undi.

Ketika kali pertama berjaya mempertahankan kerusi pada 2016, beliau menang tetapi dengan majoriti yang rendah.

Ali dipecat oleh PKR kerana tidak memberi sokongan kepada presiden parti, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dalam pertikaian mengenai calon perdana menteri dalam krisis politik pada Februari. 

Sejak itu beliau menjadi pengikut setia bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali, yang bergabung dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memimpin Bersatu.

Abang Johari, yang mengetuai empat parti di Sarawak minggu lalu menjelaskan GPS tidak akan memberi laluan kepada mana-mana parti gabungan PN yang mempunyai cawangan di Sarawak untuk bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang.

Abang Johari berkata, parti komponen GPS akan bertanding di semua 82 kerusi yang diperuntukkan.

Penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata Ali perlu membuat keputusan sukar untuk memastikan dirinya keluar daripada situasi itu.

Oleh kerana perbincangan mengenai pilihan raya sudah hampir, beliau berkata Ali perlu membuat keputusan dengan cepat.

Bagaimanapun, Awang Azman percaya jika Ali mengambil keputusan mempertahankan kerusinya, beliau “berkemungkinan akan kalah”.

Ini kerana Bersatu tiada sokongan akar umbi bukan hanya di Krian tetapi juga seluruh Sarawak.

“Ali berada dalam situasi yang goyah sekarang.”

Awang Azman berkata Ali mungkin berharap campur tangan presiden parti Muhyiddin untuk mengeluarkannya daripada kesulitan itu dan membantu menyelamatkan kerusinya.

Tetapi Awang Azman ragu-ragu dengan Muhyiddin mempunyai pengaruh politik untuk memberi tekanan kepada gabungan Sarawak yang menyokong kerajaannya yang rapuh,  walaupun beliau perdana menteri.

“Saya ragu Muhyiddin sanggup menyakitkan hati GPS hanya kerana satu kerusi. Lebih-lebih lagi, Muhyiddin sudah terbeban dengan segala macam masalah politik di Semenanjung dan Sabah.

“Sukar baginya untuk fokus pada satu kerusi ini.”

Kerusi Krian, yang memiliki hampir 12.000 pemilih berdaftar, diperuntukkan kepada Parti Demokratik Progresif (PDP).

Parti gabungan GPS yang lain adalah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Jayum Jawan bersetuju dengan Awang Azman mengenai situasi dialami Ali sekarang tetapi tidak bersetuju yang Ali akan hilang kerusi jika beliau memutuskan untuk mempertahankannya.

“Ali kini berada dalam situasi sukar. Tetapi saya tidak percaya Ali akan melakukan perkara tidak dijangka, menyerah dan tidak bertanding untuk menggembirakan GPS,” katanya.

Jayum berkata jika Ali mengambil keputusan itu, maka tiada jaminan bagi kerusi Parlimen Saratok jika Parlimen kemudian dibubarkan.

Beliau berkata Ali akan berdepan situasi yang sama dengan kerusi parlimennya dalam pilihan raya persekutuan jika beliau masih bersama Bersatu.

“Ia situasi rumit untuk Ali. Oleh itu, beliau harus memutuskan apa yang terbaik untuknya. Beliau tidak boleh menyerahkannya kepada orang lain, termasuk parti baharunya Bersatu.”

Jayum berkata memandangkan Krian adalah kerusi majoriti Iban, maka ia bukan kerusi bagi “parti bukan Iban”, PDP. 

“Dakwaan PDP akan lemah dan saya rasa PBB tidak akan mengambil risiko bagi PDP jika Bersatu menyokong kerusi itu untuk Ali.” – 10 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen