Pejuang sukar tembus kawasan Melayu, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

Pejuang hanya harapkan undi protes ahli Bersatu namun tidak akan mampu gugat kedudukan lawan, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2020.

PARTI baharu Dr Mahathir Mohamad, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), hanya akan dapat “curi undi” dan belum tentu akan dapat menembusi kawasan majoriti Melayu dalam pilihan raya umum akan datang (PRU15), kata penganalisis.

Malah dalam suasana politik semasa, Pejuang dilihat sukar untuk mendapatkan sokongan di kawasan Felda, seperti yang pernah dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum yang lalu (PRU14), kata mereka.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar walaupun Pejuang wadah kekecewaan dan protes bekas ahli Bersatu, mereka masih belum mampu untuk menawan kerusi di jajaran Melayu.

“Dengan kewujudan Pejuang yang tidak ada bersekutu dengan mana-mana pakatan, keadaannya adalah mereka hanya akan curi undi.

“Untuk galas kemenangan (di kerusi ditandingi) masih kami ragui untuk Pejuang,” kata Hisommudin, kepada The Malaysian Insight.

Jelas beliau, Pejuang hanya boleh mengharapkan undi protes daripada ahli Bersatu namun tidak akan mampu menggugat kedudukan lawan.

“Untuk mereka raih undi protes dan saluran kepada ahli-ahli Bersatu yang tak puas hati mereka akan dapat.

“Sukar untuk mereka gugat sampai kata boleh menang. Nak bagi cabaran undi protes boleh,” tambahnya.

Pejuang didirikan oleh Dr Mahathir Mohamad dan lima ahli Parlimen bekas Bersatu yang terhenti keahlian mereka kerana tidak menyokong kerajaan Muhyiddin Yassin, yang juga presiden parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2020.

Pejuang meletakkan calonnya Amir Khusyairi Mohamad Tanusi bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Perak baru-baru ini kerana pendaftaran parti belum diluluskan.

Amir hanya meraih 2,115 undi – lebih rendah daripada calon PH dalam PRU14, dan kalah kepada calon Barisan Nasional Mohd Zaidi Aziz yang menang besar sebanyak 15,451 undi.

Pejuang didirikan oleh Dr Mahathir dan lima ahli Parlimen bekas Bersatu yang terhenti keahlian mereka kerana tidak menyokong kerajaan Muhyiddin Yassin, yang juga presiden parti.

Badan penyelidik Merdeka Centre dalam kajian terbarunya yang diumumkan minggu lalu mendedahkan bagaimana pengundi Melayu gembira Bersatu menyertai Muafakat Nasional (MN), gabungan yang ditubuhkan oleh Umno dan PAS pada September 2019.

Dalam kaji selidik yang dijalankan pada 15 Julai hingga 10 Ogos lalu, pengundi Melayu juga berharap Umno bersama PAS akan menjadi sebahagian kerajaan persekutuan Perikatan Nasional (PN).

Umno bagaimanapun sudah menyatakan pendirian sebelum ini tidak akan menyertai PN.

Menurut Hisomuddin, walaupun PH berjaya menggugat kedudukan Barisan Nasional (BN) di beberapa kerusi Melayu pada PRU14 lalu, Umno masih kekal menguasai kerusi di kawasan lingkaran Melayu, terutamanya Felda.

“Ketika PRU14, kira-kira 19 kerusi Parlimen di Felda jatuh kepada PH. Apabila Bersatu keluar dari PH, mereka mungkin akan hilang semula kerusi di kawasan Felda. 

“Berdasarkan dua PRK (Slim dan Chini), dapat dilihat undi yang dahulunya pengundi penyokong Umno yang undi PH pada PRU14, kini mereka kembali kepada sokongan asal mereka,” katanya.

Pandangan ini disokong Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya Mohammad Tawfik Yaakub yang berpendapat kedudukan MN lebih stabil di kerusi Melayu.

Namun begitu, jelasnya sokongan di kawasan Felda lebih dinikmati oleh Umno dan PAS berbanding Bersatu.

Kedudukan Muafakat Nasional lebih stabil di kerusi Melayu, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2020..

“Saya juga lihat sokongan pengundi Melayu kepada Bersatu tidak kuat, mereka lebih cenderung kepada Umno dan PAS.

“Sokongan diberikan kepada Bersatu muncul ketika era Dr Mahathir (sebagai pengerusi Bersatu) pada PRU14 dan orang Melayu membuak-buak waktu itu menolak Umno dan PAS,” katanya.

Keadaan semasa bagaimanapun kata Tawfik berubah apabila isu yang dibangkitkan ketika kempen PH berkenaan Felda kurang kedengaran. Peneroka juga dilihat hidup lebih selesa di bawah pentadbiran kerajaan Muhyiddin, katanya.

“Felda masih kubu kuat Umno, tidak kepada PAS. Felda ilham Tun Razak. Semangat orang Felda masih bersama Umno dan BN. 

“Meskipun ada sedikit peralihan pada pengundi muda, simpatinya pada Umno masih kuat bagi orang Felda. 

“Kedudukan Umno hanya goyang sedikit di Felda bila ada isu nasional dan goyang mood mereka bila isu itu libatkan kepentingan orang Felda. 

“Sekarang isu Felda tenggelam, orang Felda lihat mereka sedang kembali kepada zaman sebelumnya, iaitu zaman kurang masalah, Felda saya rasa akan jadi kubu kuat Umno semula,” katanya.

Pensyarah politik Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya juga berkongsi pendapat sama iaitu BN dan Umno akan kembali  menikmati sokongan daripada peneroka Felda.

Namun, Awang Azman berpendapat, sentimen pengundi Melayu kepada Pejuang dan PH masih belum dapat dipastikan sepenuhnya memandangkan dinamik politik yang berubah-ubah buat masa ini.

“Penerimaan orang Melayu kepada Pejuang bergantung kepada sentimen masa. 

“Dalam keadaan sekarang terdapat sentimen masyarakat yang dinamik, berubah ikut masa dan lokalitinya.

“(Sebarang kajian) adalah petunjuk umum kepada masyarakat untuk memahami apa yang berlaku sekarang dan beberapa bulan lepas, tetapi tidak boleh diterima untuk jadi sandaran teguh,” katanya. – 9 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen