Retorik semua salah DAP


KEBELAKANGAN ini rakyat Malaysia disajikan dengan pelbagai kebobrokan pencatur dan pemain politik tua terutama dari pihak kerajaan yang kerap memomokan rakyat dengan alasan “salah DAP”. 

Kita dihidangkan dengan pelbagai naratif yang buruk tentang DAP antaranya isu air, menteri tak kuarantin, sehinggalah hal-hal yang melibatkan kerugian kerajaan turut menjadi “salah DAP”. 

Sedar atau tidak “salah DAP” kini telah menjadi satu zikir oleh pimpinan Melayu Islam yang asalnya dipelopori oleh pemerintah kleptokrat Barisan Nasional kini tersemai dalam parti Islam PAS. 

Agak malang bagi rakyat Malaysia apabila isu-isu yang diperjuangkan semasa era pemerintahan Pakatan Harapan dahulu seperti hudud, kes kematian saudara Adib, sijil UEC dan pelbagai lagi isu kini hanya tinggal kenangan dan merupakan satu retorik adu domba bagi menyemai sifat benci kepada satu kaum yang lain. 

Kini situasi amat mendukacitakan apabila kita dapat melihat dua Timbalan Menteri iaitu Ahli Parlimen Kudat Abdul Rahim Bakri dari Bersatu dan Ahli Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin dari Umno bersikap tidak profesional. 

Mereka menuduh saudari Veveonah Mosibin, pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang viral dengan video dia mengambil ujian di atas pokok di Pitas, hanyalah satu hiburan untuk meningkatkan tontonan di saluran YouTube gadis tersebut. 

Adakah ini sikap kerajaan Perikatan Nasional terhadap anak muda yang mahukan kehidupan yang lebih baik? 

Pihak pentadbiran universiti sendiri telah menyanggah dakwaan kenyataan oleh timbalan menteri. 

Timbalan menteri setelah dihamburkan komen negatif dari rakyat yang bersolidariti bersama Veveonah telah mengambil jalan yang paling mudah dengan mengatakan DAP sengaja mempolitikkan isu ini. 

Walhal mesej yang ingin disampaikan ialah masalah capaian internet di kawasan pendalaman. 

Apa gunanya anda dilantik oleh Perdana Menteri Muhyidin Yassin jika jawatan itu digunakan untuk melawan rakyat sendiri? 

Sudahlah, jangan sampai rakyat terjemahkan rasa kecewa mereka dalam pilihan raya negeri Sabah nanti.

Akhir kata selagi ada pemisah dan juak ekstrem pemerintah selagi itulah rakyat Malaysia akan didendangkan dengan “salah DAP”. – 9 September, 2020.

* Amir Afiq Azhar, penolong setiausaha DAP Cawangan SS1 Kampung Tunku.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen