Wakil rakyat DAP suka manipulasi, kata Zahidi


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin berkata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh memanipulasi fakta dan isu kontroversi membabitkan Veveonah Mosibin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2020.

MANIPULASI menjadi kebiasaan wakil rakyat DAP, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin, selepas Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menyifatkan tindakannya terhadap Veveonah Mosibin sebagai buli siber.

Malah kenyataan Yeoh itu tidak tepat dan berniat jahat, tulisnya di Twitter, memetik artikel Malaysiakini.

Tambah beliau, Yeoh memanipulasi fakta dan isu kontroversi membabitkan Veveonah, serta mengambil kesempatan mengapi-apikan emosi rakyat dan ahli ahli politik termasuk pemimpin dalam kerajaan.

Selain Zahidi, Timbalan Menteri Kewangan I Abdul Rahim Bakri juga dikecam teruk pengguna media sosial selepas mendakwa Veveonah meraih populariti kerana pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu sebenarnya tidak menduduki peperiksaan pada Jun.

Zahidi berkata beliau tidak pernah memberi gambaran negatif  terhadap Veveonah seperti yang digambarkan Yeoh.

“Semalam juga saya telah membuat sidang media bagi menerangkan kesalahan fakta tersebut kerana mendapat maklumat daripada MP (ahli Parlimen) kawasan Veveonah.

“Tidak pernah dalam mana-mana keadaan selepas kekhilafan di Dewan Negara yang menunjukkan saya menunding jari kepada Veveonah,” tulis ahli Parlimen Padang Besar itu di Twitter hari ini.

Malah dalam sidang media itu juga Zahidi berkata akan berjumpa Veveonah untuk mendengar sendiri pandangan pelajar itu sendiri, dan menyelesaikan isu yang menjadi kontoversi.

“Sehubungan denga itu, sikap Hannah menunding jari seolah saya melakukan buli siber adalah sangat semberono dan mencari politik murahan. 

“Saya fikir ini juga merupakan budaya politik yang jijik dan tidak waras DAP mengambil kesempatan membakar emosi secara ‘mislead’ rakyat untuk keuntungan politik,” tambahnya.

DAP katanya perlu berhenti menjadikan ini sebagai sebahagian daripada budaya politik mereka.

Selain Yeoh, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini berkata Zahidi dan Rahim hanya mahu mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan kerajaan Perikatan Nasional dalam pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di Sabah.

Lim mengecam tindakan Zahidi dan Rahim yang berterusan menyerang Veveonah, tetapi tidak memberikan penjelasan tentang kemajuan pelaksanaan NFCP.

Tambah beliau tuduhan kononnya Veveonah menipu mengambil peperiksaan dalam talian atas pokok di Pitas juga membuatkan ramai rakyat Sabah marah kerana rasa dihina.

“Saya di Sabah apabila Zahidi menyerang Veveonah di Dewan negara dan orang Sabah sangat marah,” katanya dalam kenyataan hari ini. – 8 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen