Bersatu tanding sekurang-kurangnya 20 kerusi Sabah, kata sumber


The Malaysian Insight

Azmin Ali dan kumpulannya dijangka bakal menguji kekuatan pengaruh mereka di PRN Sabah tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2020.

BERSATU akan bertanding sekurang-kurangnya 20 kerusi dalam pilihan raya negeri Sabah atas tiket Perikatan Nasional (PN), termasuk semua lapan kerusi asal yang dimenangi oleh Umno dalam pilihan raya umum 2018, kata sumber.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, rundingan bagaimanapun setakat hari ini masih berjalan dengan Barisan Nasional (BN) bagi menentukan pengagihan enam kerusi lagi.

“Dua daripada enam kerusi itu dijangka akan diberikan kepada calon dari bekas PKR yang menyertai Bersatu baru-baru ini,” kata sumber parti yang maklum mengenai rundingan tersebut.

Seorang lagi sumber berkata kumpulan bekas PKR yang diketuai Mohamed Azmin Ali mengintai untuk bertanding antara empat atau lima kerusi.

The Malaysian Insight difahamkan formula rundingan pengagihan kerusi antara PN dan BN akan membolehkan Umno bertanding di 32 kerusi yang juga ditandinginya dalam PRU14.

Dengan sekurang-kurang 52 kerusi diagihkan antara Bersatu dan Umno, parti-parti lain dalam PN akan bertanding di 21 baki kerusi daripada keseluruhan 73 yang dipertandingkan dalam pilihan raya negeri ini.

Walaupun 20 kerusi yang pasti itu rendah daripada sasaran asal 45 kerusi yang diumumkan oleh Bersatu Sabah, ia cukup menghantar isyarat bahawa parti itu akan bertanding di kerusi asal Umno yang wakil rakyatnya kini sudah menyeberang masuk Bersatu, termasuk di peringkat Parlimen.

Bersatu mempunyai 15 ahli Parlimen bekas Umno yang menyertainya selepas PRU14, dengan lima daripadanya mewakili kawasan-kawasan di Sabah.

Muhyiddin pada 29 Ogos lalu, semasa majlis taklimat parti mengenai pilihan raya negeri, menunjukkan logo PN berupa tulisan “Perikatan Nasional” berwarna putih dengan latar biru prusia.

Sementara itu, seorang sumber PN memberitahu ada kemungkinan senarai calon parti itu dan BN akan diumumkan pada Khamis, iaitu pada hari sama Warisan mengumumkan barisan calonnya.

“Perkara ini masih dibincang (setakat petang hari ini),” katanya.

BN dan PN sebelum ini dilapor akan mengumumkan calon masing-masing esok.

Dalam pilihan raya negeri ini, BN disertai oleh Umno, MCA, dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), sementara Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai sekutunya. 

PN pula dibentuk oleh Bersatu, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Dalam pada itu, akhbar The Star melaporkan parti-parti dalam PN masih buntu mengenai jumlah kerusi yang diagihkan sesama mereka.

Laporan yang memetik sumber itu menyebut Bersatu akan bertanding di 19 kerusi dan mungkin akan mendapat satu kerusi tambahan selepas rundingan dengan Umno melibatkan kawasan Muslim Bumiputera.

Antara kerusi yang belum diputuskan ialah Kemabong, Kuamut, Paginatan, Tanjung Aru, Kuala Penyu, Bengkoka dan Telupid, lapor akhbar itu.

Dua kerusi terakhir itu adalah antara 13 kerusi tambahan susulan persempadanan semula yang diluluskan di Dewan Rakyat pada tahun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada Sabtu, 12 September dan pengundian pada 26 September.  β€“ 8 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen