SPRM tahan 2 pengarah syarikat, siasat tuntutan palsu projek jalan kampung Sarawak


Kalidevi Mogan Kumarappa

"Projek Jiwa Murni" dikatakan tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan dan mendapat banyak aduan daripada penduduk setempat. – Gambar sumber SPRM, 8 September, 2020.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pengarah syarikat di Sarawak untuk disiasat atas dakwaan membuat tuntutan palsu berhubung projek naik taraf jalan di kawasan pedalaman di negeri itu.

Sumber memberitahu mereka adalah rakan kongsi dalam tiga syarikat yang memonopoli 10 projek di bawah Kementerian Pertahanan yang dianggar bernilai RM800 juta.

“Mereka ditahan dalam satu operasi khas di Kuching, Sarawak hari ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dua lelaki berumur 44 tahun itu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching esok untuk permohonan reman, tambah sumber.

Siasatan awal mendapati projek pembinaan jalan yang menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak, di bawah “Projek Jiwa Murni”, dianugerahkan kepada syarikat berkenaan antara 2010 hingga 2016.

Sumber bagaimanapun berkata projek berkenaan tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan dan mendapat banyak aduan daripada penduduk setempat.

“Banyak aduan yang diterima daripada masyarakat setempat berhubung keadaan jalan yang teruk disebabkan kualiti pembinaan yang tidak menepati spesifikasi. Ada antara jalan-jalan ini tidak lagi dapat digunakan dan rosak setelah beberapa bulan dibina.

“Kawasan-kawasan yang terlibat adalah di Miri, Kapit, Ba’kelalan, Limbang dan Belaga,” katanya. 

Sumber berkata, kajian teknikal mendapati jalan-jalan ini langsung tidak menepati piawaian pembinaan jalan yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya. Antaranya, hanya diletakkan lapisan tar yang dianggarkan setebal 2 inci di atas permukaan tanah. 

“Tiada lapisan batu kerikil dan pasir sepertimana dalam syarat kontrak. Ini menyebabkan jalan yang dilalui oleh kenderaan berat termasuk lori-lori balak mudah rosak dan tidak dapat digunakan oleh kenderaan ringan sebagai jalan penghubung antara kawasan-kawasan pendalaman.

“Difahamkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak telah mengarahkan JKR Negeri untuk membaik pulih serta menaiktaraf jalan-jalan berkenaan kerana kegagalan kontraktor yang dilantik melaksanakannya. Ini menyebabkan kos bagi membaik pulih bertambah sekali ganda,” katanya. 

Sumber juga mendedahkan pemilik syarikat berkenaan masih dikurniakan kontrak baik pulih jalan oleh Jabatan Kerja Raya Sarawak baru-baru ini walaupun tidak mempunyai rakam jejak yang memuaskan.

“Seharusnya syarikat-syarikat dibawah kawalan suspek perlu disenaraihitam daripada memperolehi projek atas faktor kegagalan mereka melaksanakannya. 

“Mereka harus dipertanggungjawabkan dan dikenakan tindakan. Tetapi sebaliknya apa yang berlaku, mereka diberikan lagi projek dengan menggunakan nama syarikat lain. 

“Ketirisan yang berlaku ini menyebabkan kerajaan kerugian ratusan juta ringgit,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan mereka.

Menurut beliau, siasatan kes ini dibuat dengan kerjasama Kementerian Pertahanan setelah laporan audit dalaman kementerian menunjukkan kegagalan projek ini.

Siasatan dijalankan di bawah seksyen 16(b), 17(a) dan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi kesalahan rasuah dan membuat tuntutan palsu. – 8 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen