PAS bangkit isu arak, raih sokongan Melayu Muslim, kata penganalisis


Zaim Ibrahim

PAS sedang cuba mengukuhkan sokongan orang Melayu dan Islam apabila membangkitkan isu arak dan pengasingan jantina di pawagam, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2020.

PAS sedang cuba mengukuhkan sokongan orang Melayu dan Islam apabila membangkitkan isu arak dan pengasingan jantina di pawagam, kata penganalisis.

Penganalisis yang dihubungi memberitahu The Malaysian Insight kenyataan pemimpin PAS mengenai penjualan arak dan kelab malam dilihat satu formula terbaik dalam meneruskan agenda Melayu-Islam, ketika kerajaan juga dikuasai parti Melayu-Islam.

Pertubuhan masyarakat Islam bagaimanapun melihat gesaan PAS itu tepat pada waktunya ketika Malaysia berdepan dengan banyak masalah sosial, termasuk kemalangan maut yang melibatkan pemandu mabuk.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Azmil Tayeb berkata kenyataan pemimpin PAS itu juga muncul ketika ada polarisasi antara kaum dan agama dalam masyarakat.

“Masyarakat Malaysia semakin terpolarisasi terutamanya antara Muslim dan bukan Muslim, yang menjadi semakin runcing waktu pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) lalu.

“(Kini..) Ini salah satu cara Muhyiddin dan PAS untuk mengaut sokongan daripada komuniti Melayu dengan memainkan isu seperti ini.

“Saya melihat ini sebagai cara kepimpinan PAS mengeksploitasi polarisasi antara kaum dan agama dalam masyarakat sekarang ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

PAS juga katanya membuat kenyataan itu tanpa perlu peduli kepentingan orang bukan Melayu dan bukan Islam kerana beranggapan kelompok itu tidak menguntungkan mereka dalam pilihan raya.

“PAS juga tidak akan bertanding di kawasan campuran, jadi tiada dampak negatif buat mereka,” tambahnya, yang membuat kajian tentang gerakan politik Islam di Malaysia dan Indonesia.

Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh menimbulkan kemarahan penganut Kristian apabila berkata mereka dibenarkan minum arak kerana Injil dipesong dan diubah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2020.

Minggu lalu, Ahli Parlimen PAS Nik Muhammad Zawawi Salleh menimbulkan kemarahan penganut agama Kristian apabila berkata mereka dibenarkan minum arak kerana kitab suci agama Kristian, Injil dipesong dan diubah.

Sedangkan sebenarnya, beliau berkata tiada agama yang membenarkan penganut mereka minum alkohol.

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu membuat kenyataan tersebut ketika membahaskan usul pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan di Dewan Rakyat bertujuan mengetatkan undang-undang bagi menangani isu pemandu mabuk.

Zawawi mempertahankan kenyataannya dan berkata ia tidak sepatutnya menjadi isu sensitif bagi agama lain, ketika beliau diselar oleh pemimpin gereja.

Selang beberapa hari selepas kenyataan Zawawi, menteri PAS Mohd Khairuddin Aman Razali pula menyokong pandangan bersahaja Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai pub dan pusat hiburan yang terus ditutup ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) masih berjalan.

“Kenyataan Perdana Menteri itu tepat. Kalau tak buka selamanya pun tak apa. Berhibur saja di rumah masing-masing bersama rakan dan taulan.

“Tidak perlu berpesta sehingga mabuk, lalu menimbulkan pelbagai lagi permasalahan. Hanya segelintir yang suka. Ramai yang tidak bersetuju.

“Ikutlah suara ramai sebagai suara demokrasi majoriti dan minoriti,” katanya.

Kenyataan pemimpin PAS mengenai arak ini juga muncul ketika parti Islam itu yang menerajui Terengganu menguatkuasakan pengasingan tempat duduk mengikut jantina di pawagam.

Banyak NGO Islam sokong pendirian PAS untuk mengekang kegiatan maksiat yang sebahagiannya berpunca daripada arak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2020.

Peraturan itu dilaksanakan mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu, yang diwartakan awal tahun ini.

Namun bagi pensyarah politik di Universiti Utara Malaysia Kamarul Zaman Yusoff, kenyataan pemimpin PAS mengenai arak sejak kebelakangan ini hanya untuk menyatakan sokongan kepada perdana menteri dan pentadbirannya.

“Ini bukan cubaan PAS untuk memaksakan kehendak parti mereka ke atas rakyat atau kerana ada gesaan daripada akar umbi.

“Ini sekadar menyatakan sokongan kuat mereka ke atas kenyataan perdana menteri dan menteri pengangkutan,” katanya.

Beliau mengingatkan sebarang perubahan dasar kerajaan memerlukan kelulusan di peringkat Kabinet dan Parlimen, yang akan berbincang dan memutuskannya secara bersama.

“Pada kedua-dua peringkat ini terdapat perwakilan bukan Islam yang akan menyuarakan pandangan mereka ke atasnya.

“Saya yakin jemaah menteri dan sidang Parlimen akan menghormati suara ramai, termasuk suara bukan Islam,” katanya.

NGO Muslim sokong PAS

Namun dalam kalangan pertubuhan masyarakat Muslim seperti Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mereka menyokong pendirian PAS yang dapat mengekang kegiatan maksiat yang sebahagiannya berpunca daripada arak.

“Kalau tengok daripada politik, mungkin berbeza perspektifnya. Tapi daripada perspektif Islam dan NGO, kami sentiasa sokong… tidak kisah bila-bila pun mereka keluarkan kenyataan,” kata Presiden Isma Aminuddin Yahya.

Beliau juga mengingatkan PAS sudah lama mahu arak dan pub diharamkan, sebelum jadi kerajaan lagi.

“Sepatutnya apabila sudah jadi kerajaan mereka patut terus buat. Tetapi saya faham, kita ada prosedur dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), kabinet, dan sebagainya,” tambahnya.

Naib Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Pembela) Izzat Johari pula menegaskan, sudah tibanya masa untuk PAS bertindak lebih tegas daripada hanya menyuarakan pandangan.

Beliau juga berharap pimpinan PAS tidak lagi mengeluarkan kenyataan sebagai ahli parti tetapi secara rasmi sebagai pentabdir kerajaan.

“Pembela sentiasa konsisten bahawa kelab malam lebih baik ditutup terus. Ketika awal kerajaan laksana PKP, kami dapati ada kelab malam operasi secara senyap-senyap tetapi waktu itu, tiada menteri yang respons.

“Sekarang apabila ahli Parlimen PAS keluarkan kenyataan, sila keluar kenyataan rasmi sebagai pentadbir kerajaan, baru tahu PAS konsisten dan tegas dalam saranan tutup kelab malam dan haramkan penjualan arak,” katanya.

Bagi Izzat, tiada masalah sekiranya kenyataan pemimpin PAS sekarang dibuat untuk mendapatkan sokongan daripada ahli akar umbi, tetapi mereka perlu juga segera bertindak.

“Sebelum ini PAS lantang perjuangkan isu untuk tutup kilang arak dan kelab malam… ketika menjadi pembangkang.

“Sekarang sudah berada dalam kerajaan. Adakah nak tunggu dapat kuasa mutlak baru nak buat keputusan?” tanyanya. – 9 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen