Tubuhkan agensi penguatkuasa Persekutuan untuk sungai


SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa supaya ditubuhkan dengan segera satu pihak berkuasa Persekutuan bagi melindungi semua sungai, memandangkan ia merupakan nadi negara dalam bekalan air. 95% keperluan air kita datangnya dari sungai.

Kami sekali lagi mengulangi gesaan ini yang telah dibuat beberapa kali pada masa lepas, memandangkan berlakunya gangguan air yang teruk di Lembah Klang sejak beberapa hari lalu yang disebabkan oleh pencemaran daripada kilang.

Sepertimana yang ditunjukkan oleh insiden gangguan air di Lembah Klang, kira-kira 1.2 juta pengguna terjejas dan juga telah menjejaskan ekonomi kebanyakan perniagaan yang tidak mampu beroperasi tanpa air. 

Gesaan bagi sebuah agensi Persekutuan untuk melindungi sungai kita juga dibuat beberapa kali sebelum ini oleh bekas pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago dan SAM bersetuju dengannya.

Seperti yang diketahui umum, pada masa ini terdapat banyak agensi dan pihak berkuasa yang terlibat dalam melindungi sungai dan terdapat kekurangan penyelarasan antara mereka, menimbulkan kisah “semua orang, seseorang, sesiapa sahaja dan tiada siapa” dalam melaksanakan fungsi yang diperlukan.

Kami bersetuju bahawa satu pihak berkuasa Persekutuan diperlukan yang satu-satunya tugas ialah untuk menjaga sungai di seluruh negara termasuk dalam memastikan kawasan tadahan air negeri dilindungi dan sumber air diuruskan dengan sempurna.

Pendekatan yang dilaksanakan sedikit demi sedikit, perancangan yang lemah dan kekurangan langkah penguatkuasaan yang tegas tidak berkesan lagi seperti yang diamati semasa bencana di Lembah Klang dan tragedi Sungai Kim-Kim di Johor, apatah lagi pencemaran air sungai lain sejak beberapa tahun lepas.

Masalah perubahan iklim akan menyebabkan tekanan ke atas sumber air kita dengan kejadian lebih banyak kemarau dan kurangnya hujan.

Ini diperparahkan lagi oleh eksploitasi sungai kita untuk perlombongan pasir dan pencemaran, dengan pembuangan sisa isirumah dan industri ke dalamnya, memandangkan kita terus menganggap sungai sebagai tempat buangan dan bukannya air sebagai nadi kehidupan kita.

Ancaman selanjutnya ialah terdapatnya fasiliti yang menjana sisa toksik dan berbahaya di bahagian tempat mengambil air di hulu sungai dan sepanjang sungai dengan banyak perniagaan ini menjimatkan kos dengan membuang terus semua sisa mereka ke dalam sungai. 

Dengan kurangnya pemantauan dan penguatkuasaan tegas yang berterusan, sungai dan sumber air kita terus diancam oleh pencemaran air yang serius, kualiti air yang buruk yang tidaksesuai untuk pengambilan manusia.

Pengguna air yang tidak bersalah dan tidak curiga berisiko terjejas kesihatan dan menderita penyakit akibat daripada pengambilan sisa, kumbahan, plastik, bahan kimia dan logam berat.

Kami bersetuju dengan Charles Santiago bahawa sungai perlu dianggap sebagai kawasan keselamatan negara dengan kawasan penampan 200 meter pada kedua belah tebing sungai. Ia mesti dipantau dengan teknologi terkini, CCTV dan sensor yang akan menghalang pencerobohan ke dalam zon ini.

Melainkan kita mempunyai badan kawalan Persekutuan yang bebas dan bertanggungjawab kepada Parlimen, bencana gangguan air Lembah Klang tidak seharusnya diulangi, bukan hanya di Selangor tetapi juga di negeri lain.

Kini tiba masanya untuk menghentikan segala permainan politik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, serta perang hujah dalam kalangan banyak agensi yang terlibat dan mengambil tindakan sebelum satu lagi bencana berlaku.

Sementara itu, usaha mestilah dipercepatkan untuk menggubal pemindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 supaya ia lebih berkesan untuk mencegah pencemar daripada menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sisa mereka.

Kita mestilah mengambil iktibar penting daripada situasi ini dan tidak mengambil mudah sumber air kita memandangkan air adalah keperluan asas untuk semua kehidupan. – 8 September, 2020.

*Kenyataan dikeluarkan Presiden Sahabat Alam Malaysia Meenakshi Raman. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen