Peguam bela Najib bantah pernyataan saksi bekas CEO 1MDB


Kamles Kumar

Ketua pasukan pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata pernyataan saksi Mohd Hazem Abdul Rahman mengandungi unsur keterangan dengar cakap yang tidak boleh digunakan di mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2020.

ESOK Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan permohonan pasukan pembelaan Najib Razak untuk mengeluarkan bahagian tertentu pernyataan saksi bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Mohd Hazem Abdul Rahman.

Ketua pasukan pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata pernyataan saksi Hazem mengandungi unsur keterangan dengar cakap (hearsay evidence) yang tidak boleh digunakan di mahkamah.

Hazem adalah saksi kesepuluh pendakwaan dalam perbicaraan rasuah yang dihadapi Najib. Bekas perdana menteri itu didakwa atas empat pertuduhan  salah guna kausa dan 21 pertuduhan membabitkan aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion.

Shafee memberitahu mahkamah beberapa bahagian dalam pernyataan saksi Hazem adalah keterangan dengar cakap, termasuk perkara membabitkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan dakwaan bahawa Najib menggunakan dana 1MDB untuk membiaya Umno.

“Ini boleh dilihat dalam satu perenggan yang kami bantah juga. Jika saya dibenarkan merujuk, hanya untuk menggambarkan bahawa ianya keterangan dengar cakap dan tidak boleh diterima.

“Contohnya pada perenggan enam… ada dua bahagian ‘dalam mesyuarat ini, Jho Low beritahu saya alasan sebenar 1MDB ditubuhkan iaitu untuk membantu Umno melalui perniagaan dan pelaburan strategik’, tetapi saks tidak nyatakan secara khusus bagaimana beliau (Najib) akan menggunakan 1MDB untuk membantu Umno,” kat Shafee kepada mahkamah.

Keterangan dengar cakap adalah keterangan yang diberikan oleh seseorang di mana ia menyatakan apa yang orang lain kata atau sampaikan kepadanya. 

Shafee sebelum ini memfailkan permohonan sama untuk mengetepikan pernyataan saksi dari seorang lagi saksi pendakwaan iaitu bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Hakim Collin Sequerah yang mengendalikan perbicaraan hari ini kemudian berkata beliau akan memutuskan pada perbicaraan esok. – 7 September, 2020.

Berita penuh di sini.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen