TIGA bas berkuasa hidrogen akan memulakan perkhidmatannya di Kuching Julai tahun depan, satu langkah kerajaan negeri Sarawak untuk menggunakan gas sebagai bahan api yang murah dan bersih pada kenderaan pengangkutan awam.
Bas berkenaan tidak akan diserahkan kepada syarikat bas untuk percubaan, tetapi akan “ditugaskan” kepada agensi kerajaan negeri, termasuk lembaga pelancongan.
Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata, syarikat Sarawak Energy Bhd (SEB) akan memperolehi bas berkenaan pada kos RM10 juta, yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri.
SEB dipilih untuk menjalankan percubaan selepas kerajaan negeri bulan lalu menetapkannya untuk menerajui kajian kemungkinan mengenai aplikasi hidrogen dan bahan bakar.
Abang Johari, pada retreat yang diadakan tiga hari di Melaka memberitahu jabatan negeri dan pegawai kanan kerajaan negeri bahawa peruntukan itu juga termasuk dana untuk menubuhkan loji penghasilan hidrogen.
Katanya, pemerolehan bas berkenaan merupakan satu langkah ke hadapan dalam pembangunan kenderaan pengangkutan awam bebas pelepasan gas, dan beliau berharap ia dapat menggambarkan Sarawak sebagai penyokong tenaga bersih, khususnya kepada pelancong.
Ia juga berikutan lawatan lima harinya ke China minggu lalu untuk meneroka teknologi baharu dalam transit aliran ringan (LRT) dan pembinaan bangunan.
Antara syarikat dilawati beliau adalah China Harbour Engineering Co Ltd, yang mana perbincangan memfokuskan kepada pembangunan sistem pembangunan pengangkutan awam yang efisien dan bebas pencemaran.
Ketua menteri itu turut mengadakan lawatan yang sama ke Eropah bulan lalu. Terdahulu beliau berkata, kerajaan negeri mencadangkan sistem LRT, yang akan menghubungkan Kuching dengan bandar Serian (66km dari Kuching), Samarahan (30km) dan Damai (28km), yang turut beroperasi menggunakan hidrogen.
“Imej tenaga bersih akan memperlihatkan Kuching mampu menarik pelancong, membolehkan ia menjadi satu gerbang pelancongan seperti Melaka,”
Dalam usaha untuk memperkasakan tenaga hijau dan mengikut trend dunia, beliau berkata mungkin ada peralihan dasar untuk menarik “industri berat yang menghasilkan pencemaran” ke negeri ini.
Katanya, walaupun rekod pelaburan asing “mungkin baik dengan menerima industri berat”, Sarawak kemudiannya akan menerima padah sekiranya industri berat didapati mencemar alam sekitar. – 11 Disember, 2017.
Komen