Raikan parti anak muda


BEBERAPA hari ini gempar dengan berita mengenai parti anak muda yang bakal ditubuhkan oleh Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pelbagai pendapat dilontar oleh semua pihak baik golongan belia sehinggalah golongan veteran politik. Dr Mahathir Mohamad juga telah memberikan komen bahawa parti ini tidak akan berjaya. 

Namun adakah telahan itu benar? 

Kalau mengikut sejarah parti politik di Malaysia, parti serpihan jarang mempunyai hayat yang panjang jika parti-parti ini memperjuangkan idealogi yang sama seperti parti asal mereka. 

Sudah tentu parti asal akan lebih dominan dan hayat parti serpihan ini akhirnya adalah seperti telur di hujung tanduk.

Hal ini berlaku di dalam Bersatu pada masa ini. Walaupun masih kelihatan gah, tidak dinafikan sebenarnya parti ini goyah dan hanya menunggu masa untuk rebah. 

Dengan gabungan politik yang agak mengelirukan rakyat bersama Umno, PAS dan juga parti komponen lain dalam Barisan Nasional, Bersatu nampak janggal dan tidak bermaya untuk bersaing bersama abang long – Umno.

Dengan penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) oleh Dr Mahathir baru-baru ini, Bersatu kelihatan banyak kehilangan sokongan akar umbi. 

Mungkin mereka memperolehi majoriti di Parlimen pada waktu ini hasil dari gabungan membentuk Langkah Sheraton, namun sehingga bila majoriti tipis itu dapat dikekalkan? 

Setelah berlakunya peristiwa Langkah Sheraton, kesedaran politik dalam kalangan anak muda khususnya di media sosial semakin meningkat.

Tidak kira di pihak mana pun mereka dan latar belakang mereka, masing-masing semakin galak memberikan pendapat mengenai hal politik semasa. 

Ini telah membentuk satu kuasa yang dilihat boleh mendominasi dunia politik negara pada masa hadapan. 

Ramai yang mula tampil dengan idea politik baru dan ada yang sudah mula mengorak langkah mereka. 

Parti anak muda yang bakal ditubuhkan oleh Syed Saddiq ini sebenarnya adalah satu usaha yang baik untuk memberikan satu saingan kepada politik gaya lama di dalam negara kita. 

Tidak dinafikan ada anak muda yang berfikiran konservatif dan setuju dengan gaya politik lama ini. Namun mengikuti peredaran zaman, politik gaya lama ini dilihat semakin tumpul dan semakin kurang menyengat. 

Mungkin berbekalkan dengan isu sensitif seperti isu perkauman dan agama akan sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada sesetengah parti, namun pada zaman serba moden ini, cara ini juga akan mula pudar.

Apa yang pasti anak muda kini sudah mula berani melawan arus dan itu adalah sesuatu yang baik buat landskap politik negara kita. 

Namun hayat parti anak muda juga ini dikhuatiri tidak lama. Antara yang dipertikaikan oleh orang ramai ialah apa yang akan terjadi kepada ahli yang sudah melebihi usia yang ditetapkan oleh parti. Apakah rancangan dan hala tuju parti untuk hal sedemikian. 

Namun untuk terus menolak idea ini adalah tidak adil. Semua idea perlu diraikan. 

Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku di masa hadapan namun bagi saya kita juga tidak perlu menghalang jika ada gerakan di kalangan anak muda untuk membawa pembaharuan dalam negara kita. 

Sesungguhnya anak muda adalah masa depan kepada negara kita. Idea dan kudrat mereka sangat diperlukan untuk memacu negara ini agar dapat terus bersaing di mata dunia. 

Parti-parti politik sedia ada di negara ini tidak perlu panik sebaliknya bagi saya perlu menyambut idea ini dan bekerjasama dengan parti baru ini. 

Bagi parti yang mempunyai sayap pemuda, inilah satu peluang untuk bergabung dan memantapkan barisan pemuda masing-masing di samping memastikan sistem demokrasi negara ini terpelihara dan tidak dicabul lagi oleh ahli politik yang tamak dan mementingkan diri sendiri. 

Bagi saya, tidak salah kita berfikiran terbuka dan menerima idea ini. Carilah jalan dan persetujuan agar akhirnya negara kita dan sistem demokrasi kita sekali lagi dijunjung dan dihormati. 

* Noor Suhana Ishak merupakan Naib Pengerusi DAP Cawangan Kampung Tunku SS 1.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen