PKR mahu kerusi adil di Sabah, kata Anwar


Dalam pertemuan itu, Anwar Ibrahim membincangkan soal pengagihan kerusi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang. – Gambar Facebook rasmi Anwar Ibrahim, 6 September, 2020.

PKR mahu pengagihan kerusi yang adil dan saksama dalam pilihan raya negeri Sabah, kata presidennya Anwar Ibrahim, menjelang penamaan calon Sabtu ini, 

Hasrat PKR itu beliau sampaikan dalam perbincangan dengan Presiden Parti Warisan Sabah Mohd Shafie Apdal yang disertai pimpinan kanan parti dari pusat dan negeri.

“Dalam pertemuan itu, kami bincangkan soal pengagihan kerusi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

“Saya sampaikan hasrat Keadilan selaku rakan sekutu untuk terus diberikan ruang dengan adil dan saksama sebagai parti yang mempunyai sejarah di Sabah,” kata Anwar, dalam satu hantaran di Facebook.

Tambahnya, PKR juga setuju bahawa semua calon yang bertanding akan dapat bekerja sebagai satu pasukan yang mantap, yang akan terus menerajui Sabah.

Pertemuan Anwar dan Shafie disertai pengerusi PKR Sabah Christina Liew dan timbalannya Mustafa Sakmud. Hadir sama bekas presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail dan setiausaha agung Saifuddin Nasution.

Hasrat PKR kepada Shafie itu sebelum ini dimaklumkan oleh Anwar kepada ahli akar umbi di Sabah semasa melancarkan jentera parti di Kota Kinabalu malam tadi.

Semalam, semasa berucap melancarkan jentera PKR untuk pilihan raya negeri, Anwar turut memberi jaminan PKR akan mengemukakan calon yang berwibawa dan berintegriti.

Beliau memberi jaminan itu ketika politik Sabah terus dibayangi tindakan lompat parti wakil rakyat yang juga menjadi punca pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 30 Julai lalu.

“Sementara mendapatkan pengagihan kerusi yang adil dan saksama, bersama rakan-rakan Warisan, DAP, UPKO, dan Amanah, tanggungjawab kita ialah memastikan kita memilih calon yang berwibawa dan ada integriti untuk membela nasib rakyat,” katanya, di Kota Kinabalu malam tadi.

Semalam, semasa melancarkan jentera Warisan dan sekutunya di Keningau, yang tidak disertai oleh PKR, Shafie berkata partinya akan mengumumkan barisan calon pada Khamis ini.

Shafie bagaimanapun tidak membayangkan sama ada pengumuman calon itu akan melibatkan parti sekutu yang lain.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada Sabtu, 12 September dan pengundian pada 26 September.

Anwar pada bulan lalu menyatakan pendirian untuk PKR bertanding menggunakan lambang parti sendiri dalam pilihan raya negeri itu.

Sesetengah parti dilaporkan bersetuju menggunakan lambang Warisan sebagai satu strategi untuk memenangkan parti kerajaan negeri sebelum ini. Antaranya Amanah yang dilaporkan berhasrat untuk bertanding di sekurang-kurangnya satu kerusi.

DAP pula setakat ini belum mengumumkan keputusan sama ada akan bertanding dengan lambang sendiri atau menggunakan logo Warisan. – 6 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen