Pasca PKP, sekolah pelarian kini nyawa-nyawa ikan


Noel Achariam Hailey Chung Wee Kye

Murid di sebuah sekolah untuk pelarian di Jalan Pudu, Kuala Lumpur sedang menyediakan hidangan untuk makan tengah hari mereka pada waktu rehat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 September, 2020.

SEKOLAH untuk anak pelarian berusaha keras untuk bertahan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beberapa sekolah di Kuala Lumpur ditutup kerana kekurangan dana.

Koordinator Alliance of Chin Refugees (ACR) James Bawi Thang Bik yang mengendalikan sekolah untuk pelarian di Jalan Pudu, Kuala Lumpur berkata kini mereka berdepan dengan isu aliran dana.

Sekolah terpaksa ditutup jika mereka tidak mendapat sekurang-kurangnya RM20,000, katanya.

“Tiga hingga empat sekolah di Kuala Lumpur sudah ditutup ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami tahu sekolah itu ditutup kerana mereka meminta kami menyerap murid kami,” kata James kepada The Malaysian Insight.

Tambah James, mereka mempunyai dana yang hampir tidak cukup untuk menampung 240 murid di sekolah mereka.

“Buat masa ini 50% dana kami datang daripada penderma rakyat Malaysia. Lain-lain dana datang daripada sedikit yuran sekolah yang dikutip daripada murid.

“Murid bayar RM100 sebulan. Jika ada adik-beradik yurannya jadi RM150 untuk berdua. Kalau ada tiga adik beradik, yang seorang lagi tidak perlu bayar.”

James turut bimbang jika mereka menambah murid lagi atas faktor kekurangan ruang belajar.

Koordinator Alliance of Chin Refugees (ACR) James Bawi Thang Bik yang mengendalikan sekolah untuk pelarian di Jalan Pudu, Kuala Lumpur berkata kini mereka berdepan dengan isu aliran dana. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 September, 2020.

Hampir 90% murid adalah rakyat Myanmar berusia lima hingga 18 tahun yang mana ibu bapa mereka pemegang kad UNHCR, dan selebihnya murid berketurunan Indonesia dan Bangladesh.

Menurut laman web Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), terdapat 128 pusat pembelajaran berasaskan komuniti bagi anak pelarian yang menetap di Malaysia.

Data UNHCR menunjukkan 1,234 anak pelarian berumur 3-5 tahun didaftarkan ke tadika, sementara seramai 5,046 murid berumur 6-13 tahun didaftarkan ke sekolah rendah.

Lebihan 874 pelajar berumur 14-17 tahun didaftarkan ke sekolah menengah.

“Kami cuma ada lapan bilik darjah sekarang. Tapi kami perlukan dana lebih jika kami ingin memperbanyakkan kelas. Kami perlukan lebih cikgu dan bilik darjah,” kata James.

Mereka kini menggajikan sembilan guru sepenuh masa dan 10 sukarelawan.

Menurut laporan UNHCR, ramai anak-anak pelarian terutamanya kanak-kanak perempuan yang telah bersekolah kini tidak dapat kembali ke sekolah selepas coronavirus menyerang dunia.

Mereka berkata separuh daripada anak-anak pelarian tidak bersekolah sebelum coronavirus melanda, malah PBB memberi amaran yang pandemik ini bakal menggangu masa hadapan mereka.

Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Filippo Grandhi menyeru semua orang menyokong pelarian untuk mendapatkan hak pendidikan.

“Selepas apa yang berlaku terhadap mereka, kini kita tidak boleh menafikan masa hadapan mereka dengan tidak memberikan pendidikan,” katanya.

Laporan menggunakan data daripada 12 negara yang menjadi tuan rumah buat lebih separuh daripada kanak-kanak pelarian di dunia ini mendapati lebih 1.8 juta daripada mereka, atau 48% daripada semua anak-anak pelarian yang sepatutnya bersekolah tidak pun bersekolah.

Koordinator EL Shaddai Refugees Learning Centre Education, Dr Ng Oi Leng berkata kini mereka bertahan dengan apa yang ada sahaja.

“Kami bertahan dengan mengurangkan yuran sekolah supaya pelajar kami mampu.

“Buat masa ini, dana kami masih boleh bertahan sehingga penghujung 2020.”

Yuran tadika dan sekolah rendah telah dikurangkan dari RM50 kepada RM10, sementara yuran untuk sekolah menengah diturunkan dari RM120 kepada RM50, kata Ng.

Tambahnya, sekarang ini terdapat lebih 1,000 murid pelarian di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kami tak ada sekolah, tapi kami ada lebih kurang 40 kelas sekitar Lembah Klang.

“Kelas-kelas ini terletak di lot kedai dan kebanyakan ruang ini diberikan secara percuma untuk digunakan.”

Kebanyakan derma dan dana datang dari gereja, individu dan mereka yang menginginkan kebaikan di dunia ini.

“Walaupun belum ada lagi kekurangan dana buat masa ini, tapi kami pun belum pasti tentang masa hadapan.

“Jika kami berterusan mendapat dana, kami boleh bertahan. Tapi kalau kami tak dapat, kami pun tak tahu apa akan terjadi. Mungkin akan ditutup.” – 6 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen