Setiap datang musibah, ahli politik jadi musibah kedua


Zainal Rashid Ahmad

ISU ketiadaan air di sebahagian besar Lembah Klang menjadikan suasana Jumaat dan Sabtu dipenuhi troll dan caci-maki di media sosial.

Kalau troll masih okay sebab dipenuhi mod jenaka dan komedi. Namun, posting yang paling banyak adalah makian akibat kemarahan.

Ini fenomena media sosial. Akaun dengan profil berlebai atau tudung labuh pun boleh menggugah kita, dengan posting caci-maki yang ngeri bunyinya.

Apa pun, ringkasnya – rakyat tidak lagi boleh menerima keadaan “ketiadaan air”.

Kemarahan meletus jadi lebih teruk apabila krisisnya berpunca daripada pencemaran sungai.

Lebih ngeri lagi – pencemaran disebabkan buangan sisa kimia kilang haram!

Anuar Ahmad memuat naik status: “Inilah Malaysia. Peniaga kecil niaga buah tepi jalan diroboh payung dan dirampas meja dan balang buah. Tetapi kilang haram yang sudah pernah mencemar bekalan air hanya didenda dan kali ini mengulanginya lagi.”

Respons lain lebih sinikal.

“Apa nak dihairan brother Anuar. Tauke kilang sapu juta-juta. Denda cemar sungai hanya RM60,000.”

Kemarahan Anwar antara puluhan ribu status media sosial warga Lembah Klang yang marah kerana tiba-tiba saja mengalami gangguan bekalan air pagi Jumaat.

Sebagai netizen generasi muda; pengguna Facebook menjadi kecewa dan bertukar marah apabila terpaksa berdepan dengan isu ketiadaan air berulang kali setiap tahun.

“Berjuta orang hidup tak mandi dan tak memasak hanya kerana kilang haram tak guna. Tetapi kerajaan masih cakap sekadar akan siasat!”

Status Paoge antara ledakan kemarahan anak muda warga kota yang sudah bosan mendengar jawapan kerajaan.

Tangkap, dakwa dan denda sudah dianggap tindakan “bodoh” dan tidak berbaloi.

Denda RM100,000 pun tidak diendahkan apabila penduduk Lembah Klang terpaksa melalui hari yang sukar pada Jumaat dan Sabtu.

Kenyataan kerajaan akan melaksanakan proses pendakwaan terhadap pihak yang bertanggungjawab dijenakakan begitu saja. Tanda tindakan klise dilihat satu jawapan tidak berbaloi dengan penderitaan rakyat.

“Kerajaan akan bertindak terhadap syarikat yang mencemar sumber bekalan air sehingga mengakibatkan gangguan meluas di Selangor dan Kuala Lumpur pada minggu depan.”

Kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, sangat klise.

Ini juga kenyataan yang diulang-ulang menteri di portfolio yang sama sejak lama dulu.

Lebih klise, jutaan pengguna air di Lembah Kelang mendengar lagi kenyataan ala “copy and paste” yang berbunyi: “Ketika ini tindakan penguatkuasaan pelbagai agensi negeri dan pusat sedang berjalan.”

Tuan Ibrahim seperti yakin kenyataan itu cukup untuk menggambarkan kerajaan serius menangani isu sisa buangan kilang haram yang mencemarkan sungai sumber air.

Katanya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan pihak berkuasa tempatan sedang bertindak.

“Proses pendakwaan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 akan dilaksanakan minggu depan,” katanya dalam satu kenyataan pada petang Jumaat.

Di Facebook, pengguna media sosial lebih bersimpati pada Ismail Fezlulah.

“Lega hujan turun petang ini sebab aku seharian tak mandi. Jadi despatch kalau tak mandi seharian boleh pitam. Aku tak lari cari perlindungan. Aku bawa motor dalam hujan lebat sambil mandi.”

Atau, pengguna media sosial menumpukan kepada kenyataan Azlan Silan.

“Anak sekolah pun protes. Guna perkataan apa bodoh punya kerajaan. Aku pujuk dan didik anak jangan guna perkataan bodoh. Tetapi bukankah kalau berulang kali tak ada air kerana isu sungai tercemar – memang satu kebodohan?”

Kenyataan Tuan Ibrahim mengenai usaha pindaan peruntukan undang-undang sedia ada juga disambut rakyat dengan nada sinikal.

“Pindaan yang dibuat akan membabitkan Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, SPAN dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” kata Tuan Ibrahim.

Rakyat mendengarnya dengan pandangan skeptikal.

“Isu belanjawan tambahan untuk rakyat pun ahli Parlimen nyaris tak diluluskan sebab kemaruk politik. Ini pula takat isu air,” kata Radzi Ali.

Radzi merujuk pada kelulusan rang undang-undang perbekalan tambahan yang diluluskan dengan undi tipis 111-109 pada Sidang Dewan Rakyat yang lalu.

Ringkasannya mudah: setiap kali rakyat dilanda musibah, harapan pada ahli politik untuk menyelesaikannya dianggap musibah kedua! – 6 September, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen