Selepas pulangkan darjah kebesaran, Dr Mahathir mahu ‘dating’ dengan isteri


Amin Iskandar

Status Twitter Dr Mahathir Mohamad yang ingin keluar temu janji bersama isterinya, Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang menerima banyak 'suka' daripada pengguna media sosial. – Gambar Twitter, 11 Disember, 2017.

Selepas memulangkan darjah kebesaran negeri Selangor, Dr Mahathir Mohamad bercadang membawa isterinya Dr Siti Hasmah Mohd Ali keluar “dating”.

Menulis di akaun Twitter @chedetofficial, Dr Mahathir berkata isterinya sentiasa bersamanya ketika susah dan senang.

“Planning to have a date with Hasmah. (Bercadang untuk keluar ‘dating’ dengan Hasmah).

“Dia bersama saya susah dan senang. What movie should we watch together? (Cerita apa harus kami tonton bersama?),” tulis Dr Mahathir.

Pada ketika ini, tulisan Dr Mahathir itu mendapat 831 retweet dan 1678 like di Twitter.

Hari ini The Malaysian Insight melaporkan Dr Mahathir memulangkan dua darjah kebesaran tertinggi yang diterimanya daripada Istana Selangor.

Kedua-dua darjah kebesaran itu dipulangkan pada petang Khamis dan diserahkan kepada seorang pegawai kanan di pejabat Sultan Selangor di Istana Alam Shah di Klang.

Isterinya, Dr Siti Hasmah turut mengambil tindakan sama.

Dr Mahathir menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS),Darjah Kelas Pertama pada 22 Jun 1978, yang ketika itu membawa gelaran Datuk. 

Darjah kebesaran itu dikurniakan hanya kepada dua orang pada satu-satu masa dan kuota maksimum penerimanya ialah 40 orang. 

Sejak 1998, darjah kebesaran itu membawa gelaran Datuk Seri.

Kira-kira sebulan sebelum persaraannya pada Oktober 2003, Dr Mahathir dianugerahkan Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) pada majlis Jasamu Dikenang di Istana Alam Shah, Klang.

Sementara Dr Siti Hasmah pula memulangkan kembali darjah kebesaran Selangor SPMS dan Darjah Paduka Mahkota Selangor (DPMS) pada hari sama dengan Dr Mahathir.

Dr Siti Hasmah menerima darjah kebesaran DPMS daripada Istana Selangor pada 1983 dan SPMS pada tahun 1994.

Pihak Istana Selangor memberitahu The Malaysian Insight, satu kenyataan berhubung perkara ini akan dikeluarkan esok. – 11 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • apa daa..org bagi balik nak tggu buat statement apa.org x nak la.statement pun x nak la dgr.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Khairi anne · Ulasan