DAP akan sentiasa jadi musuh kami, kata Abang Johari


Desmond Davidson

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata DAP akan sentiasa jadi musuh di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2020.

KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg hari ini berkata DAP akan sentiasa menjadi musuh negeri itu.

Berucap di hadapan ahli partinya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada konvensyen di Miri hari ini, Abang Johari berkata kritikan berterusan DAP ke atas dasar pakatan pemerintah diketuainya, Gabungan Parti Sarawak (GPS), adalah sebab utama mengapa parti asal Semenanjung itu terus ditolak.

GPS juga menolak cubaan DAP Sarawak yang mahu mendapatkan sokongan mereka untuk Pakatan Harapan pada krisis politik Februari lepas.

Mengimbau peranan GPS dalam pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Abang Johari mendedahkan terdapat cubaan Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen untuk mendapatkan sokongan supaya PH tidak tumbang.

Ia dibuat selepas beberapa ahli Parlimen daripada Bersatu dan PKR berpaling tadah untuk membentuk PN. Tindakan itu bersama-sama sokongan diberikan GPS membolehkan Muhyiddin Yassin membentuk kerajaan PN dan tumbangnya PH.

Chong ketika itu berkata DAP Sarawak bersedia bekerjasama dengan GPS “demi kepentingan negara” dan “menghalang puak pelampau merampas kuasa melalui pintu belakang”.

“Negara kita dalam persimpangan dan GPS perlu buat keputusan memilih antara pakatan Umno-PAS atau bersama gabungan progresif PH.

“Saya merayu kepada semua pemimpin GPS untuk mengetepikan semua perbezaan politik dan bekerja sama dengan PH untuk menyelamatkan negara kita daripada jalan kebinasaan,” kata Chong.

Tetapi, Abang Johari hari ini mendedahkan kemarahan dirasainya sangat besar berkaitan tuduhan dibuat Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mendakwa Sarawak bakal muflis, sehingga menyebabkan beliau tidak boleh menyokong mana-mana kumpulan politik disertai DAP.

Lim, yang ketika itu menteri kewangan, berkata rizab Sarawak sebanyak RM31 bilion akan habis digunakan dalam tiga tahun jika GPS terus menetapkan belanjawan tahunan sebanyak RM11 bilion.

“Sekarang selepas tiga tahun, muflis ke (Sarawak)? Duit kita (rizab) dalam bank masih menggunung banyak.

“Sekali awak musuh, awak akan sentiasa jadi musuh.

“Saya tak kata yang kita tak boleh tukar sokongan (tetapi) mereka ingat kita bodoh (uruskan kewangan).

“Bila mereka tuduh kita akan muflis, saya tak boleh terima,” kata Abang Johari.

Tambahnya, GPS juga sukar berbaik dengan DAP selepas Kementerian Kewangan yang diterajui Lim Guan Eng ketika itu membatalkan banyak projek di negeri itu yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional. – 5 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen