48 jam di Cox's Bazar


ZF Zamir

Dan setelah berbual dengan beberapa warga Rohingya lainnya, Farid menegaskan kepada aku bahawa situasi ini normal. Di mana-mana katanya, terdapat anak kecil yang terpisah dari ibu bapanya, atau dibiarkan begitu sahaja dan tidak dipedulikan oleh orang ramai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Mahen Bala, 11 Disember, 2017.

PARANG itu melekat tepat di atas kepala botak itu, dan darah meleleh turun. Agu menetak beberapa kali lagi sehingga orang tersebut mati. Itu mungkin kali pertama Agu membunuh orang, tetapi Agu banyak lagi perkara dahsyat Agu pernah lakukan.

Paling-paling pun, Agu mungkin berusia 11 atau 13 tahun. Tetapi, ada satu “scene” di mana Agu menembak perempuan yang sedang dirogol oleh rakannya, tepat di atas kepala. Rakannya itu memarah Agu kerana dia belum habis merogol perempuan itu. 

Agu adalah watak dari filem Beast Of No Nation, oleh Netflix yang sempat saya tonton sebelum kapal mendarat di lapangan terbang Shahjalal, Dhaka, Bangladesh beberapa jam lalu. 

Filem tersebut saya “save” di dalam telefon sebelum berlepas, dan bayangan Agu dan Strika, serta seluruh batalion tentera kanak-kanak di wilayah selatan Afrika yang dikendali oleh Komandan, lakonan Idris Elba masih menghantui walau kini saya sudahpun menjejak tanah lapangan terbang di Cox’s Bazar.

Pengembaraan masuk

Pagi itu, kami menaiki bas kecil ke Ukhiya dari stesen bas Cox’s Bazar. Perjalanan mengambil masa sekitar satu jam. Bas kerap berhenti untuk mengambil dan menurunkan penumpang. Jam menunjukkan angka 9. Sepanjang perjalanan, kelihatan anak-anak sekolah sedang bersiap berjalan menuju ke kelas, berselang-seli dengan pemandangan deretan sawah dan aktiviti pagi warga Bangladesh.

Ada yang menyapu sampah di hadapan kedai, ada yang duduk di kedai menikmati chai (teh), ada yang mengerumuni penjual kuih di tepi jalan. Semua mereka berkain pelikat. 

Di Ukhiya kelihatan lebih sibuk pagi ini. Kami berhenti betul-betul di hadapan deretan kedai. Ia kelihatan seperti pasar pagi dengan ramai orang mengerumuni hampir setiap barang yang didagangkan.

Tanpa disedari, itulah sebenarnya pintu masuk ke salah sebuah kem pelarian terbesar di dunia hari ini iaitu kem Kutupalong. Hari ini, lebih dari 212,000 pelarian berada di kem pelarian ini. 

Sehingga Oktober 2017 sahaja, menurut laporan Relief Web International, lebih daripada 509,000 pelarian tiba di Bangladesh, menjadikan jumlah keseluruhan pelarian di Ukhiya dan Teknaf, Bangladesh termasuk di kem Kutupalong (212,000 orang), Balukhali (45,000 orang), Mainnerghona (71,000), Hakimpara (52,000), Jamtoli (25,000), Bagghona (17,000), Shamlapur (33,000) serta Roikhong (28,000) sekitar 809,000 orang.

Jalan masuk ke dalam kem ini juga dipenuhi dengan manusia, dan sukar sekali untuk membezakan antara warga Bangladesh atau warga Rohingya. 

Farid, anak jati Feni, sebuah bandar kecil di utara Bangladesh yang bertugas sebagai penterjemah Bahasa Melayu kepada saya hari ini pernah bekerja di Malaysia selama lebih dari 10 tahun. 

Dia bertanyakan soalan kepada seorang penjual ikan di pinggir jalan tanah merah ini dan memberitahu saya kebanyakan mereka adalah warga Bangladesh. Katanya lagi, peniaga warga Rohingya berada sedikit ke dalam. 

Melawat kawasan

Tidak lama kami berjalan kemudiannya Farid menunjukkan kepada saya rumah-rumah yang dibina daripada buluh dan hanya ditutup dengan kanvas di bahagian atasnya sebagai atap dan memaklumkan rumah-rumah pelarian bermula dari situ.

Ianya agak berbeza dengan gambaran awal yang saya bayangkan sejak dari Malaysia. Tidak ada pintu masuk. Warga Rohingya dan warga Bangladesh yang tinggal di Ukhiya bergaul sesama mereka dan hampir mustahil untuk membezakan di antara mereka. 

Tidak ada kawalan keselamatan untuk mereka yang datang dari arah Cox’s Bazar. Tidak ada pemeriksaan keselamatan untuk mereka yang mahu masuk ke dalam kawasan ini. 

Hampir mustahil untuk membezakan warga luar yang mahu masuk ke kem ini untuk membantu atau mengambil kesempatan. 

Kerana itulah Al-Jazeera pada 3 Disember membuat satu laporan khas mengenai hamba seks perempuan Rohingya yang dijual di Bangladesh dan jumlah mereka semakin meningkat.

UN pada 14 November, menegaskan penyeludupan manusia semakin menjadi-jadi di kem-kem pelarian ini berikutan ramai penyeludup mengambil kesempatan di atas kedatangan lebih dari 600,000 wanita dan kanak-kanak sejak 25 Ogos yang lalu dan sistem keselamatan yang sangat longgar di kem pelarian tersebut.  

Kami berjalan antara lorong-lorong rumah buluh ini, sebahagiannya mempunyai tandas kelompok yang dibina khas untuk 10 ke 20 rumah, dengan hanya lubang kosong dibina sebagai pusat kumbahan, begitu juga dengan pam air. Ini bermakna tiap rumah buluh yang dibina tidak mempunyai air, elektrik mahupun tandas sendiri. Dan di celah-celah lorong ini mengalir air kumbahan yang selalunya dihurung lalat. Di antara mengalirnya air kumbahan itu pula, yang pasti air kencing atau air mandian jiran-jiran, bermainnya anak-anak kecil berumur satu atau dua tahun yang tidak berbaju.

Hampir 70% anak-anak kecil yang kami temui tidak memakai baju, dan bermain tanpa memakai selipar. Ini adalah pemandangan biasa untuk anak kecil berumur kurang dari 5 tahun manakala untuk anak-anak yang lebih besar, kebanyakan mereka dilihat bekerja menjual pelbagai barangan, membasuh daun-daun sirih di pam-pam air, duduk menunggu barangan jualan dibeli atau beratur di lori air yang baru sampai dengan baldi-baldi besar.

Kami disapa oleh Firdaus, seorang lelaki berumur 40-an yang kemudiannya menjelaskan kepada Farid bahawa dia baru sampai ke kem ini 14 hari yang lepas. Sebahagian besar sanak-saudaranya mati dibunuh tentera, dan hanya keluarganya sahaja yang berjaya lari dan menyelamatkan diri. Dia kemudiannya menjemput kami untuk masuk ke dalam rumahnya untuk dijamu makan tetapi kami menolak dengan sopan.

Pengembaraan keluar

Dari Kutupalong, kami keluar semula dan menaiki kenderaan beroda tiga untuk ke kem Balukhali pula. Pintu masuk ke dalam kem ini juga sama, tiada pos kawalan, warga Rohingya mahupun Bangladesh bebas keluar masuk tanpa pemeriksaan keselamatan.

Ketika kami sampai, beberapa barisan panjang sedang diatur, satu barisan lelaki dan satu barisan perempuan, kesemua orang yang beratur memegang kad masing-masing dan kelihatan orang yang dihujung keluar dengan sekampit tepung dan minyak di atas kepala. 

Kadangkala anak kecil yang beratur dan disambut oleh bapanya diluar, menandakan keluarga tersebut cuba memaksimakan bantuan makanan keluarganya. Barisan ini begitu panjang dan begitu ramai orang, mungkin hampir 500 meter panjangnya di antara kedua barisan tersebut. Kami difahamkan bantuan makanan diberikan seminggu sekali.

Dan di celah-celah barisan warga Rohingya ini, kanak-kanak, lelaki dan perempuan yang sabar menunggu di tengah panas terik matahari, adalah seorang anak kecil berumur satu tahun, tanpa ibu atau bapa, tanpa secarik benang pakaian di atas badannya, berjalan mundar mandir tanpa dipedulikan oleh sesiapapun. 

Saya memerhatikannya selama beberapa minit untuk memastikan adakah anak kecil ini benar-benar tanpa pengawasan orang dewasa di celah-celah ribut dan gilanya penyampaian bantuan makanan ini sebelum memastikan dengan Farid bahawa, memang anak ini sendirian. 

Dan setelah berbual dengan beberapa warga Rohingya lainnya, Farid menegaskan kepada aku bahawa situasi ini normal. Di mana-mana katanya, terdapat anak kecil yang terpisah dari ibu bapanya, atau dibiarkan begitu sahaja dan tidak dipedulikan oleh orang ramai.

Sambil menekup muka saya meninggalkannya, sambil ingatanku melirik kembali watak Agu, yang menjadi tenterak kanak-kanak setelah terpisah dari ibunya dan kematian bapa dan abangnya. Agu yang periang berasal dari keluarga yang baik, bapanya seorang guru tetapi kemudian ditukar menjadi seorang yang kejam oleh keadaan dan keterpaksaan. Kata Agu yang paling saya ingat:

I saw terrible things… and I did terrible things. So if I’m talking to you, it will make me sad and it will make you too sad. In this life… I just want to be happy in this life. If I’m telling this to you… you will think that… I am some sort of beast… or devil. I am all of these things… but I also having mother… father… brother and sister once. They loved me.” – 11 Disember, 2017.

 

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* ZF Zamir ialah penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN) dan The Wakaf Buku (TWB). Sebelum ini juga beliau mengetuai badan penerbitan Thukul Cetak sehingga 2017 sebelum meletakkan jawatan sebagai CEO untuk meneruskan projek terbaru beliau iaitu Akademi Thukul.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen