'Rockstar' terajang jurugambar, minta maaf secara terbuka


Vokalis utama Queens of the Stone Age, Josh Homme (kanan) yang menendang muka seorang jurugambar, hari ini telah memohon maaf atas kelakuannya itu. Bersama dalam gambar, Iggy Pop, legenda punk dunia yang sudah tua dan menanti masa. – Gambar Facebook Rockwheels, 11 Disember, 2017.

VOKALIS kugiran Queens of the Stone Age memohon maaf selepas beliau dikecam hebat selepas menendang seorang jurugambar sehingga terpaksa diwadkan semalaman di hospital.

Josh Homme yang juga pemain gitar itu sedang mengadakan pertunjukan di Los Angeles pada Sabtu di festival stesyen radio KROQ apabila perbuatannya itu dirakam melalui video.

Melalui sebuah video yang sempat dirakam menunjukkan Homme telah menendang muka jurugambar yang berada di pinggir pentas.

Jurugambar Shutterstock Chelsea Lauren berkata, akibat daripada itu beliau terpaksa menghabiskan semalaman di wad kecemasan dan sehingga kini masih mengalami sakit leher dan kesan calar di mata, selain perasaan loya.

“Menyerang, dalam apa-apa bentuk bukan perkara remeh. Tak kisahlah apa alasan pun,” katanya melalui Instagram.

Lauren membuat spekulasi Homme mungkin berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol. Beliau turut memuat naik gambar Homme sedang senyum walaupun wajah bintang rock itu berlumuran darah di dahi ketika persembahan itu.

“Saya hanya berada di kawasan yang dibenarkan sahaja. Saya tak langgar undang-undang. Saya cuba buat kerja saya,” tulis Lauren.

Berikutan itu, Homme membuat permohonan maaf dan menjelaskan kejadian itu sebagai kemalangan. Katanya, ketika persembahan itu, beliau dalam “keadaan hilang kawalan diri” sehingga menendang peralatan muzik lain.

“Saya tak akan pernah dengan sengaja mencetuskan mudarat kepada sesiapa yang bekerja atau yang hadir dalam persembahan kami. Saya harap Chelsea terima permohonan maaf saya ini,” tulis Homme melalui Twitter.

Penjelasan beliau itu mengundang pelbagai reaksi negatif di media sosial. Malah ada yang mahukan beliau diambil tindakan.

Homme, 44, terkenal dengan gaya ranggi, dengan karisma bintang rock yang tinggi, merupakan pencetus kepada penubuhan kugiran Queens of the Stone Age dan Eagles of Death Metal.

Mujur, ketika serangan oleh Daesh di Paris pada 2015 itu kugirannya membatalkan niat bermain di situ.

Berpangkalan di kawasan gurun tenggara Claifornia, Homme juga penerbit yang berprolifik, selain pernah bekerja dengan legenda punk Iggy Pop. – AFP, 11 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen