Pembelaan selesai panggil 6 saksi kes rasuah Isa Samad


Bekas pengerusi Felda Mohd Isa Samad menghadapi sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites oleh FICSB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 September, 2020.

PIHAK pembelaan dalam kes bekas pengerusi Felda Mohd Isa Samad yang menghadapi sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), menutup kesnya hari ini selepas memanggil enam saksi.

Isa yang diwakili peguam Salehuddin Saidin memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa pihak pembelaan menutup kesnya selepas saksi terakhirnya, Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi, 43, selesai memberi keterangan.

Zaqrul Razmal, dalam keterangannya antara lain berkata beliau telah bertemu bekas pegawai khas politik Isa, Muhammad Zahid Md Arip untuk berbincang mengenai pembelian bahan bakar oleh Felda.

Hakim Nazlan menetapkan 4 November untuk mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak sebelum memutuskan sama ada untuk mensabitkan atau membebaskan Isa daripada tuduhan rasuah.

Beliau juga memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 2 Oktober dan perlu menjawab hujahan bertulis itu sebelum 16 Oktober.

Pada 16 Jun, Nazlan memerintahkan Isa membela diri terhadap sembilan pertuduhan rasuah setelah pendakwaan berjaya membuktikan setiap unsur penting kesalahan menerima rasuah di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Isa, 71, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi iaitu disoal terlebih dahulu oleh peguamnya semasa pemeriksaan utama dan kemudian pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Pada 17 Ogos, Isa dalam pembelaannya menafikan beliau menerima RM3 juta dalam sembilan transaksi daripada Muhammad Zahid, berhubung pembelian MPHS dan juga berkata beliau tidak pernah membincangkan atau bertanya Muhammad Zahid tentang pembelian itu.

Pihak pembelaan mengambil masa tiga hari mulai 17, 19 Ogos dan berakhir hari ini.

Isa menghadapi sembilan pertuduhan rasuah, iaitu menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu ahli lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, menerusi individu bernama Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB bagi RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Bernama, 3 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen