SEKTOR pembinaan Malaysia menguncup sebanyak 50% dalam tempoh enam bulan tahun ini, daripada RM62 bilion kepada RM32 bilion, berbanding tempoh Januari hingga Jun tahun lalu, kata menteri ekonomi Mustapa Mohamed.
Penguncupan berlaku kerana banyak projek pembinaan tertangguh setelah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19, yang menyebabkan hampir 100% kerja-kerja pembinaan terhenti sejak Mac lalu, katanya.
“Projek pembinaan ini banyak dari sektor swasta… kalau pecahannya di sini mengikut projek bagi tempoh Januari dan Julai tahun ini, RM32 bilion merupakan projek pembinaan kerajaan dan swasta berbanding RM62 bilion tahun lepas tempoh yang sama.
“Ini menunjukkan sektor pembinaan mengalami penguncupan 50% berbanding tahun lepas,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak projek naik taraf Kompleks Majlis Sukan Negara, di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.
Jelas Mustapa, dua daripada setiap tiga projek pembinaan yang terjejas adalah projek swasta dan bakinya adalah projek kerajaan.
“Biarpun kerajaan cuma satu pertiga tapi peranan cukup besar,” katanya.
Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan pada Ogos menunjukkan industri pembinaan menguncup sebanyak 44.5%.
Susulan pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia sejak hujung Januari lalu, Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) negara menguncup sebanyak 17.1%, lebih teruk berbanding kesan krisis kewangan Asia pada 1997.
Mustapa berkata kerajaan telah memperuntukkan suntikan sebanyak RM69 bilion bagi memulihkan sektor pembinaan.
Namun setakat 16 Ogos, hanya tidak sampai separuh daripada suntikan itu telah digunakan, tambahnya.
“Maknanya kita sudah 13 September ini tapi belum sampai separuh lagi dibelanja. Ia jadi isu pada kerajaan kalau kita nak gerakkan ekonomi negara,” katanya.
Oleh itu beliau berkata kerajaan telah menggerak beberapa langkah seperti mempercepatkan kelulusan pengeluaran tender.
“Kalau dulu perlu 7 bulan hingga 8 bulan sebelum masuk tapak .. tetapi hari ini JKR (Jabatan Kerja Raya) sudah cepatkan proses hanya tiga bulan ke empat bulan.
“Ini tindakan diambil kerajaan untuk segerakan pelaksanaan projek pembangunan,” katanya.
Kerajaan turut menyegerakan tempoh pembayaran kepada pemaju daripada sebulan sekali kepada dua bulan sekali bagi membantu pihak kontraktor, tambahnya.
“Jadi kita harap tindakan dilakukan kerajaan akan menaikkan peratusan suku ketiga dan ke empat. Kita berharap dapat pulihkan sektor pembinaan negara,” katanya.
Sementara itu Mustapa juga menjelaskan isu kelewatan projek pembinaan bangunan asrama Kompleks Sukan Negara yang tertangguh selama 4 tahun setengah sejak 2016.
Katanya projek asrama yang memakan kos sebanyak RM39 juta itu merupakan projek dari Rancangan Malaysia ke-10, dan dijangka akan siap sebelum hujung tahun ini.
“Projek ini kos sebanyak RM39 juta bukan projek mega pun tapi ambil masa empat tahun lebih dan belum siap.
“Ada sebab lewat antaranya masalah bekalan lewat kemudian berkaitan peralihan kerajaan pada 2018, ada peruntukan tergendala dan ada juga masalah reka bentuk, dan Covid-19 dan Sukan Sea,” katanya.
Beliau berkata kerajaan telah mengambil tindakan untuk mendenda syarikat kontraktor terlibat sebanyak RM1.2 juta kerana kelewatan menyiapkan projek tersebut. – 3 September, 2020.
Komen