Indira Gandhi harap ditemukan semula dengan anak sebelum Deepavali 


Noel Achariam Hailey Chung Wee Kye

Peguam Ambiga Sreenevasan dan beberapa peguam lain yang turut mengiringi Indira Gandhi ke Bukit Aman hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 3 September, 2020.

M. INDIRA Gandhi berharap dapat dipertemukan semula dengan anak perempuannya Prasana Diksa sebelum Deepavali dan menyerahkan kepada pihak polis untuk meneruskan pencarian.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan denga pegawai kanan polis di Bukit Aman mengenai status anaknya itu pagi ini.

Tambahnya, pertemuan itu membuahkan hasil walaupun tanpa kehadiran Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

“Saya mahu berterima kasih kepada Tan Sri (Hamid) kerana memberikan peluang ini kepada kami, malangnya beliau tidak dapat bersama kita hari ini.

“Mereka (polis) ada kongsikan sedikit maklumat, namun saya harap pada pertemuan akan datang kita akan dapat lebih banyak maklumat mengenai Prasana, kebajikannya dan lain-lain.

“Dan sebagaimana yang kami cadangkan, kami harap akan dapatkannya menjelang Deepavali,” katanya di perkarangan ibu pejabat polis Bukit Aman hari ini.

Bulan lalu, Indira merancang untuk mengadakan mogok lapar di hadapan Bukit Aman pada 11 September berikutan kegagalan polis untuk memberi perkembangan mengenai anak perempuannya.

Pada Selasa Hamid bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengan Indira bagi memberi taklimat berhubung status Prasana.– 3 September, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen