AMERIKA Syarikat (AS) akan mengenakan sekatan terhadap dua pegawai Mahkamah Jenayah Antarabangsa kerana berusaha untuk mendakwa warga Amerika, umum Setiausaha Negara Mike Pompeo pada Rabu, lapor agensi berita Anadolu.
Bercakap kepada wartawan di Jabatan Negara, Pompeo menyifatkan mahkamah itu sebuah “institusi mengamalkan rasuah dan sudah tercela” dan berkata AS “tidak akan bertolak ansur dengan percubaan untuk menjadikan rakyat Amerika di bawah bidang kuasanya.”
Beliau berkata kedua-dua pegawai ICC itu adalah pendakwaraya ICC Fatou Bensouda, seorang peguam Gambia, dan Phakiso Mochochoko, ketua Bahagian Kuasa, Kelengkapan dan Kerjasama Mahkamah.
Pompeo memberi amaran individu dan entiti “yang terus menyokong kedua-dua individu berkenaan juga berisiko dikenakan sekatan.”
ICC mengecam sekatan yang “belum pernah terjadi sebelum ini” yang dikenakan AS terhadap Bensouda dan Mochochoko sebagai tindak balas atas siasatan terhadap tuduhan jenayah perang di Afghanistan.
“Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengecam sekatan ekonomi yang dijkenakan AS hari ini terhadap pendakwaraya mahkamah dan petugas pejabatnya,” kata ICC dalam satu kenyataan.
“Tindakan itu yang ditujukan kepada institusi kehakiman antarabangsa dan pegawai kerajaan, tidak pernah terjadi sebelum ini dan ia merupakan penghinaan serius terhadap mahkamah, keadilan, sistem perundangan jenayah antarabangsa Statut Rom dan kedaulatan undang-undang,” tegasnya.
ICC menambah ia “akan terus berdiri teguh bersama kakitangannya dan misinya untuk memerangi kekebalan terhadap jenayah paling serius di dunia.”
“Sebagai Presiden Majlis, saya menyeru negara-negara ahli dan semua pihak berkepentingan dalam sistem Statut Rom untuk mengulangi komitmen demi menegakkan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Statut dan memelihara integritasinya supaya tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak dan ancaman,” O- Gon Kwon, presiden Majlis Anggota Negara ICC, berkata di Twitter.
Keputusan untuk mengenakan sekatan kepada Bensouda dan Mochochoko diambil selepas Presiden Donald Trump menandatangani perintah eksekutif pada Jun yang membenarkan sekatan terhadap petugas ICC, termasuk menyekat harta benda mereka yang berada di bawah bidang kuasa AS. – Bernama, 3 September, 2020.
Komen