SEKUMPULAN pekebun durian di bawah Perikatan Selamatkan Musang King (Samka) mendakwa Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP) menipu kerana mendakwa sesetengah pekebun bersetuju untuk skim pengesahan tanah.
Konsortium yang dilantik kerajaan negeri itu semalam berkata setakat ini, kira-kir 300 pekebun berdaftar dengan syarikat itu, dan 133 daripadanya mengesahkan dan sebahagiannya membayar wang deposit RM1,000 per ekar (0.4 hektar).
Bagaimanapun, Samka berkata dakwaan itu tidak benar dan pekebun hanya berdaftar untuk sesi taklimat diadakan oleh konsortium itu.
Samka berkata bayaran dibuat oleh pekebun bukan penerimaan terhadap skim berkenaan tetapi mendakwa mereka dipaksa membeli permit akses untuk masuk kebun kerana RPDR-PKPP dikatakan mengugut untuk tidak membenarkan pekebun masuk ke tanah itu.
“RPDR-PKPP menipu dengan mendakwa 300 pekebun sudah sedia menandatangani kontrak sementara 133 sudah membayar wang deposit RM1,000 kepada syarikat itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Kononnya 300 pekebun berdaftar dengan syarikat itu seperti didakwa oleh RPDR-PKPP sebenarnya pekebun yang hanya datang taklimat RPDR-PKPP, dengan mengikut proses pendaftaran biasa, daftar sebelum taklimat bermula.
“Pekebun yang dikatakan buat bayaran itu tidak ada tandatangan kontrak, tetapi hanya mahu beli ‘permit masuk’,” katanya.
Ia berikutan RPDR-PKPP menggunakan notis akhir dikeluarkan Pejabat Tanah pada 24 Ogos untuk mengugut pekebun, berkata hanya mereka yang membeli “permit masuk” akan dibenarkan masuk ke kebun durian mereka selepas 24 Ogos, kata kumpulan itu.
“Kerana tekanan daripada syarikat itu, sesetengah pekebun dipaksa membeli ‘permit masuk’ pada harga RM1,000 sehektar. Namun, ini bukan bermakna pekebun setuju dengan syarat dan sedia tandatangani kontrak yang tidak adil dan eksploitasi ditawarkan oleh RPDR-PKPP.” – 3 September, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen