Parti Syed Saddiq takkan berjaya, kata Dr Mahathir 


Alfian Z.M. Tahir

Bekas presiden Bersatu Dr Mahathir Mohamad parti belia itu sukar untuk mendapatkan undi daripada generasi lebih tua.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 September, 2020.

DR Mahathir Mohamad menolak rancangan Syed Saddiq Abdul Rahman untuk menubuhkan parti berasaskan belia, dan mengatakan parti itu tidak akan berjaya.

Bercakap kepada pemberita di Putrajaya, Dr Mahathir berkata parti belia itu sukar untuk mendapatkan undi daripada generasi lebih tua, dan menambah partinya Pejuang akhirnya akan menjadi king maker dalam pilihan raya.

“Saya tidak tahu mengapa beliau mahu tubuhkan parti. Saya tidak rasa ia akan berjaya. Undi belia sahaja tak cukup untuk menang.”

“Dalam setiap kawasan pasti ada orang tua, namun ini negara bebas, kalau beliau rasa perlu. Kita tiada masalah selagi mereka juga mahu banteras rasuah.”

“Pejuang tidak terikat dengan mana-mana parti. Dalam pilihan raya, kita mahu dapatkan 30 kerusi dan kita dalam kedudukan untuk memilih parti mana yang boleh kita jalin kerjasama.”

“Sekiranya parti lain boleh terima syarat kita, maka kita boleh bekerjasama,” jelas Dr Mahathir.

Sementara itu, Dr Mahathir berata Pejuang menyasarkan untuk memenangi 30 kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Pejuang tidak merasakan mana-mana antara dua gabungan itu akan menang.

“Sekiranya kita dapat 30 kerusi, kita akan berada di kedudukan untuk serrtai mana-mana parti (gabungan). Namun untuk kita sertainya, kita perlu letakkan beberapa syarat.

“Malah 30 kerusi ssudah cukup untuk kita, kita tidak akan bentuk kerajaan sendiri, kita akan jadi penentu siapa yang patut jadi kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir juga berkata, 18 ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak sedia untuk menyokong Pejuang.

Mereka mungkin bukan ahli parti namun berkongsikan prinsip perjuangan yang sama, katanya.

“Kami akan bekerjasama dengan mereka dan kami harap di semenanjung juga akan ada orang yang bantu kita.”

Selepas meninggalkan Bersatu, Dr Mahathir menubuhkan Pejuang, sebuah parti yang mempunyai aobjektif yang sama dengan Bersatu ketika ditubuhkan pada 2016.

Sementara itu, Syed Saddiq memilih untuk tidak menyertai Pejuang sebaliknya mahu menubuhkan parti berasaskan belia.

Satu pertemuan diadakan Isnin lalu antara Syed Saddiq dan 30 beliau Malaysia dari pelbagai latar belakang untuk menubuhkan parti itu.– 3 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen