PRESIDEN Donald Trump mengisytiharkan darurat di California, Amerika Syarikat (AS) susulan kebakaran hutan terburuk sehingga mengancam beberapa bandar berhampiran.
Trump turut mengarahkan bantuan persekutuan untuk membantu negeri yang kebanyakan kawasan musnah dalam kebakaran itu sejak beberapa hari lalu.
Kebakaran yang diberi gelaran Thomas itu hanya 15% berjaya dikawal, kini mula mengancam bandar Santa Barbara dan Carpinteria, di pesisir pantai.
Tragedi itu menjadi salah satu kebakaran hutan paling buruk dalam sejarah California.
Gabenor California berkata setakat ini ia memusnahkan 600 kediaman dan membakar kawasan seluas 70,000 hektar, kemusnahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di negeri paling ramai penduduk di AS itu.
Arahan berpindah sudah dikeluarkan untuk beberapa kawasan di Carpinteria yang berdekatan dengan Hutan Negara Los Padres, lokasi kebakaran.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan mengesahkan keadaan cuaca sangat kering di selatan California ketika ini. Keadaan diburukkan lagi dengan tiupan angin. – AFP, 11 Disember, 2017.
Komen