Bukan Melayu akan rasa tidak selesa di bawah Perikatan, kata penganalisis


Sheridan Mahavera

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilihat tidak cukup tegas ambil tindakan terhadap pemimpin PAS yang buat kenyataan singgung masyarakat bukan Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2020.

TEMPOH beberapa bulan akan datang di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) akan menjadi kurang selesa untuk masyarakat bukan Islam walaupun gabungan itu secara rasmi memberi jaminan bahawa ia kerajaan untuk semua rakyat Malaysia, kata penganalisis politik.

Mereka berkata ini disebabkan kebergantungan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terhadap sokongan daripada Umno dan PAS – parti nasionalis Melayu dan Islam di mana pangkalan pengundi mereka ialah kawasan luar bandar, pengundi Melayu konservatif.

Ia tercermin dalam bagaimana wakil rakyat PAS seperti Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menyinggung bukan Islam dengan berkata “kitab Injil Kristian sudah terpesong”, dan tidak ditegur oleh menteri dalam Kabinet Muhyiddin.

Muhyiddin perlu berhati-hati untuk tidak menyakitkan hati PAS. Malah, Umno juga selalu terlepas membuat komen biadap tentang Muhyiddin dan partinya, Bersatu, kata penganalisis.

Lebih teruk lagi ialah kemungkinan Muhyiddin berfikir bahawa kenyataan Zawawi berkenaan Injil itu boleh diterima bagi kebanyakan umat Islam, kata penganalisis politik Profesor Madya Tunku Mohar Tunku Mokhtar.

“Kalau beliau marah Zawawi buat kenyataan itu, beliau akan nampak kurang alim,” kata Tunku Mohar, penyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Ada kemungkinan juga Muhyiddin tidak cukup tegas untuk ambil tindakan, berharap masyarakat boleh terima alasan atau penjelasan daripada kepimpinan PAS.

“Muhyiddin dalam kedudukan lemah dan beliau perlukan semua sokongan yang boleh diperoleh, walaupun terpaksa dilihat sebagai lemah.”

PAS menyumbang 18 kerusi Parlimen dalam kerajaan PN di Dewan Rakyat, yang membolehkan gabungan itu berpegang kepada majoriti nipis daripada 113 kerusi, untuk membentuk kerajaan.

PAS juga parti kedua terbesar yang secara rasmi menyertai PN, selepas parti Muhyiddin, Bersatu, yang mempunyai 39 ahli Parlimen.

Walaupun menyokong kerajaan, Umno mempunyai hubungan perbalahan dengan Bersatu, sering melihat Bersatu sebagai parti serpihan, dan ini diterjemahkan menerusi keengganan Umno menyertai PN.

Sebaliknya, Umno mahu fokus kepada membangunkan Muafakan Nasional – pakatan antara PAS dan Barisan Nasional yang termasuk MCA dan MIC.

“Muhyiddin perlukan PAS tetapi PAS juga perlu Muhyiddin kerana mereka mahu kekal berada dalam kerajaan,” kata penganalisis politik Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Ia hubungan bermanfaat kerana PAS juga mengintai kerusi Bersatu.”

Umno pula jelas berkata ia tidak mahu memberi kerusi Parlimen dan negeri kepada Bersatu kerana dua parti itu berlawan pada Pilihan Raya Umum ke-14. – 3 September, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen