Eropah dilanda salji terburuk


Pejalan kaki di Jambatan Milenium meredah salji tebal di tengah kota London. Salji turun lebat di hampir keseluruhan England dan Wales. – Gambar AFP, 11 Disember, 2017.

SEKURANG-KURANGNYA 300 penerbangan terpaksa dibatalkan di Jerman, perkhidmatan feri terjejas di Pelabuhan Calais, Perancis dan gangguan perjalanan berlaku di Britain susulan salji tebal melanda Eropah.

Salji terburuk dalam tempoh empat tahun itu menyebabkan penumpang terkandas di Frankfurt, Perancis dan Britain.

Jurucakap pengendali lapangan terbang Frankfurt, Fraport berkata kira-kira 330 penerbangan yang dijadualkan berlepas pada jam 5 petang waktu tempatan terpaksa dibatalkan kerana salji tebal.

Lapangan terbang itu hub dan ibu pejabat syarikat penerbangan Lufthansa yang dijadualkan mengendalikan 1,260 penerbangan sehari.

Di Britain, Lapangan Terbang Birmingham yang kedua terbesar terpaksa menggantung semua penerbangan pagi untuk memberi laluan pekerja membersihkan landasan dalam keadaan salji tebal.

Lapangan terbang itu biasanya mengendalikan 200 penerbangan dan kira-kira 30,000 penumpang setiap hari.

Lapangan Terbang Luton di London terpaksa menutup landasannya selama dua jam sebelum membuka semula pada 11.30 pagi waktu tempatan untuk memberi laluan kepada pesawat.

Sementara itu, di Perancis kira-kira 300 penumpang feri berdepan detik cemas apabila angin kencang menyebabkan feri itu terdampar hingga menjejaskan perjalanan mereka dari laluan pelabuhan paling sibuk di Calais, Perancis.

Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan. – AFP, 11 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen