Apa baiknya lompat parti?


SAYA mengambil maklum ucapan Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) semalam. Menurut Hadi, beliau menyokong tindakan lompat parti kerana baik untuk menyelamatkan kerajaan dan melakukan perubahan.

Saya tertanya-tanya sampai sekarang apa yang baiknya?

Pemimpin negara langgar undang-undang, sibuk merendahkan agama lain, berebut jawatan GLC dan bercakaran sesama sendiri sejak tertubuhnya PN.

Yang baik itu untuk kepentingan peribadi Hadi atau rakyat Malaysia?

Hadi juga kelihatan begitu yakin membandingkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan PN.

Mungkin beliau lupa perdana menteri PN hari ini adalah sebahagian Kabinet PH. Mengkritik Kabinet PH sama juga seperti mengkritik “kawan” sendiri.

Jangan lupa Mohamed Azmin Ali, Zuraidah Kamaruddin, Saifuddin Abdullah yang juga antara menteri yang sama dalam Kabinet PH dulu.

Pada hemah saya tindakan lompat parti ini bukan sesuatu yang baik, sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang. Mungkin sudah masanya untuk kita menguatkuasakan undang-undang lompat parti supaya tiada lagi ahli politik melompat parti sesuka hati seperti tiada harga diri.

Bertanding di bawah bendera parti yang lain, menubuhkan kerajaan di bawah parti entah dari mana. Keadaan ini hanya mengelirukan rakyat malah membuatkan makin ramai rakyat tidak percaya pada ahli politik.

Kenyataan Hadi juga menggambarkan beliau lebih banyak berpolitik daripada berkhidmat untuk rakyat.

Apa yang dikatakan pada konvensyen tersebut hanya tentang keuntungan yang diraih olehnya bukan apa yang rakyat rasa.

Perlu diingat kerajaan PN terbentuk ketika kerajaan PH sedang sibuk melawan Covid19 malah gerak kerja dan peruntukan diluluskan di bawah kerajaan PH bukan PN.

Hal ini juga pernah dimaklumkan sendiri oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Rakyat bawahan hari ini merasa derita tentang pengkhianatan ahli politik yang berebut kuasa di saat dunia melawan pandemik Covid19. Mereka sudah tidak mahu tahu siapa yang berkuasa yang penting kebajikan mereka terjaga.

Alangkah bagusnya jika konvensyen tersebut membincangkan soal masyarakat terbanyak yang terkesan dengan kehilangan pekerjaan semenjak pandemik hujung tahun lalu tetapi yang ada hanya ucapan bersifat syok sendiri.

Saya berharap kerajaan hari ini lebih fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat bukan bergaduh soal kuasa dan pangkat.

Jika benar pentadbiran PN lebih bagus buktikan dengan pelaksanaan bukan sekadar kata-kata. – 2 September, 2020.

* Leny Azmi ialah pembaca The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen