Pertahankan maruah negara


KITA baru sahaja menyambut Hari Kemerdekaan ke-63 dan akan menyambut Hari Malaysia pada 16 September nanti. Kurang meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini tatkala umum faham bahawa bahaya pandemik wabak Covid-19 belum reda.

Namun begitu, semangat patriotisme tetap ditekankan malah lebih wajar diwar-warkan terutama dalam keadaan peperangan mengatasi wabak secara sepadu lagi bersama.

Menjadi naratif lazim di mana-mana untuk “kita jaga kita” malah tidak ada kumpulan yang menentang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan dalam memecahkan rantai wabak.

Kerajaan mahu pun pembangkang menyokong penuh dua rang undang-undang yang berkait pandemik Covid-19 baru-baru ini meskipun dipertikai kelewatan dalam pembentangannya.

Soal yang kerap ditanya ialah apakah kefahaman masyarakat terhadap patriotisme atau patriotik? Apakah ia terkait kepada tindakan simbolik, seperti mengibarkan jalur gemilang, menyanyi lagu kebangsaan, menyertai perhimpunan beramai-ramai, meletakkan pelekat patriotik pada kenderaan, memakai pakaian bercirikan jalur gemilang atau apa-apa cara sekalipun untuk menyatakan kesetiaan kepada negara di peringkat umum?

Atau lebih mendalam lagi, apakah maksud patriotisme ialah suatu kefahaman dan sikap yang menggambarkan perasaan cinta terhadap tanah air sehingga rela dan berani berkorban demi kepentingan bangsa dan negara? 

Apakah ia termasuk mempertahankan maruah dan nama baik negara serta mencegah apa jua perbuatan yang boleh menjejas dan merosakkan nama baik itu?

Maksud sebenar patriotisme

Inilah maksud sebenar patriotisme dan diterjemahkan melalui tindakan simbolik serta perbuatan. Dengan kata lain, semangat berkenaan dicorakkan dengan ciri-ciri yang mengutamakan kepentingan negara dan rakyat, bukan kepentingan kelompok dan peribadi semata-mata. Ini jelas dapat dilihat dalam diri petugas barisan hadapan yang tidak kenal erti penat dan rela berkorban.

Dalam hal ini, saya menyambut baik saranan perdana menteri supaya menyemarakkan semangat patriotisme dan keharmonian yang dikecapi selama ini, sekaligus memartabat agenda untuk membina negara. 

Memang benar slogan “Malaysia Prihatin” amat sesuai dalam keadaan sekarang terutama untuk memerangi wabak Covid-19 di samping untuk memupuk perpaduan, kebersamaan dan keharmonian.

Namun, saya percaya sikap tersebut perlu dibuktikan dan tidak retorik semata-mata. Biarlah konsisten sama ada sebagai pembangkang atau pemerintah dan tidak diubahsuai ikut selera politik.

Miliki jiwa merdeka, amanah bukan jiwa menjajah, khianat

Di samping sikap cintakan negara atas dasar keharmonian, saya sarankan supaya rakyat memiliki jiwa yang merdeka, amanah dan bertanggungjawab, bukan jiwa yang menjajah, khianat dan bersembunyi atas kuasa serta kedudukan.

Juga memupuk semangat islah atau pembaharuan kepada sistem, dasar dan urusan negara; bukan citra pemikiran sempit, kuno lagi menjatuhkan di samping berpegang teguh kepada prinsip keadilan, kebebasan dan hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan serta mengamalkannya secara konsisten, bukan mengabaikannya atau mengamalkannya secara terpilih.

Dalam konteks ini, sikap dan ciri-ciri ini sebenarnya sentiasa tercabar. Mengapa? Kerana wujudnya nafsu, kepentingan politik dan peribadi, kepentingan kuasa dan kebendaan serta kepentingan sempit agama dan perkauman.

Saya percaya, rakyat pada umumnya tidak terlalu melampau dalam fahaman agama dan perkauman. Yang sering mengelirukan atau membesar-besarkannya ialah golongan politik kerana agenda dan motif politik.

Buktinya, ke mana perginya hiruk pikuk pelaksanaan RUU 355? Ke mana perginya suara pertahan tulisan jawi? Ke mana hilangnya suara bimbang terhakisnya hak dan ketuanan melayu? Tenggelam suara-suara itu dek perolehan kuasa.

Abaikan fahaman agama dan perkauman sempit

Apa penyelesaiannya? Pada pendapat saya, oleh kerana ia berunsur politik semata tanpa asas, maka lebih baiklah abaikan sahaja dan tumpu kepada perkara yang lebih berasas seperti meneliti pendekatan memperkasakan mahkamah Syariah dalam konteks keadilan dan keberkesanan pelaksanaannya.

Juga mengambil sudut pendidikan dan budaya kepada penulisan jawi tanpa perlu mempolitikkannya serta membangkitkan dasar ekonomi bumiputera yang membela nasib orang Melayu tanpa mengenepikan hak kaum yang lain atas asas keadilan dan kesaksamaan, bukan atas asas kaum semata-mata dan pemikiran terancam.

Rangka dan laksanakan dasar yang benar-benar boleh merapatkan jurang atau kesenjangan ekonomi antara kaum dan wilayah di mana kemakmuran dan kesejahteraan dapat dinikmati oleh rakyat dengan adil dan saksama. 

Ini tidak boleh hanya atas kertas dengan jumlah inisiatif tertentu tetapi wajar didukungi oleh pemimpin di setiap peringkat sehingga angka B40 dan T20 berkurangan.

Soal persepsi agama Islam yang sempit juga wajar ditangani dengan tuntas.

Akibat tindakan dan pandangan yang dikeluarkan oleh segelintir pemimpin PAS terutamanya maka amat malang apabila Islam dilihat dari kaca mata yang sempit di mana hanya pendapat ulama dan pemimpin PAS yang betul sedangkan yang sewajarnya berlaku ialah untuk kembali menghidupkan rasa kemanusiaan dan mengangkat darjat kemanusiaan itu sebagaimana firman Allah dalam ayat 70 surah Al-Isra’. Tambahan pula, sifat kesejagatan Islam menolak perkauman seperti firman Allah dalam ayat 13 surah Al-Hujurat.

Ini bukan sahaja boleh menjawab ciri perkauman di kalangan orang melayu tetapi juga yang wujud dalam kalangan orang Cina, India dan kumpulan etnik lain. Yang dibenci bukan kaum tetapi tindakan kezaliman, penyelewengan dan penindasan atas nafsu rakus peribadi atau kelompok.

Rompak berdosa, rasuah berdosa

Ini termasuklah meletakkan neraca penilaian yang betul terhadap kesalahan yang dilakukan dalam Islam. Sebagaimana Islam menjatuhkan hukuman berdosa dalam kegiatan jenayah merompak, membunuh dan mencuri, maka amalan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan wang serta kedudukan juga dianggap berdosa. Bersekongkol dan bersubahat dengan amalan serta mereka yang terlibat juga boleh jatuh berdosa.

Jadi janganlah berlindung di sebalik alasan bahawa amalan rasuah atau penyelewengan itu boleh disucikan apabila habuan daripadanya disedekahkan kepada anak yatim, masjid dan bakal haji seperti yang disebutkan dalam kes skandal 1MDB. 

Salah tetap salah dan pelakunya wajar menerima hukuman apabila didapati bersalah. Matlamat tidak menghalalkan cara.

Akhirnya, dalam kita menyambut kemerdekaan, “Malaysia Prihatin” wajar dizahirkan bukan sahaja dengan semangat patriotisme dalam usaha memerangi wabak Covid-19 secara bersama tetapi juga mengangkat kembali imej negara sebagai negara makmur yang inklusif, progresif, rahmah, berpolitik matang, bersih dan berpaksikan rakyat yang menolak pengkhianatan, rasuah dan penyelewengan. – 2 September, 2020.

*Syed Ibrahim Syed Noh adalah ahli parlimen Ledang merangkap pengerusi PKR Johor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen