Perjanjian damai Hamas, Fatah berdepan halangan


Perjanjian dicapai Oktober lalu bertujuan menamatkan perbalahan 10 tahun antara Hamas dan Fatah, pimpinan Presiden Mahmud Abbas, yang berpangkalan di Tebing Barat. – Gambar AFP, 11 Disember, 2017.

PERJANJIAN damai antara Hamas dan Fatah, yang dilanjutkan tempohnya ke hari ini, masih gagal dilaksanakan.

Hamas pada asalnya dijangka menyerahkan kuasa di wilayah itu kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) pada 1 Disember lalu menurut perjanjian perpaduan dengan Fatah, tetapi tarikh akhir itu dilanjutkan 10 hari lagi.

Hamas berkata pihaknya menyerahkan semua kementerian kepada PA, hujung minggu lalu tetapi perunding Fatah berkata sebaliknya.

“Ada halangan hari ini. Saya harap ia dapat diselesaikan sebelum petang ini supaya penduduk berasa kami jujur dengan apa yang dipersetujui dan janjikan,” kata Azzam al-Ahmad dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita WAFA.

Ahmad berkata selepas penyerahan berlaku, pertemuan akan dibuat di Kaherah untuk membincangkan langkah seterusnya.

Perjanjian dicapai Oktober lalu bertujuan menamatkan perbalahan 10 tahun antara Hamas dan Fatah, pimpinan Presiden Mahmud Abbas, yang berpangkalan di Tebing Barat.

Penyerahan itu akan menamatkan penguasaan Hamas di Semenanjung Gaza dan membangkitkan harapan keadaan kemanusiaan teruk di wilayah itu akan ditangani. – AFP, 11 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen