Guan Eng pertikai hak SPRM halang masuk Sabah


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mempertikaikan kuasa SPRM untuk menghalangnya masuk ke Sabah malam tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2020.

SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guan Eng mempertikaikan kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menghalangnya masuk ke Sabah malam tadi.

Hal itu, katanya tertakluk di bawah bidang tugas kerajaan negeri Sabah.

Bagaimanapun, bekas menteri kewangan itu kemudian dibenarkan masuk ke negeri itu selepas 30 minit berbincang.

Dalam posting di Facebook malam tadi, Lim berkata beliau ditahan oleh pegawai Jabatan Imigresen ketika hendak keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, hampir tengah malam semalam.

“Saya tiba hampir tengah malam dan diberikan pas lawatan sosial tetapi ketika hendak masuk ke kereta untuk keluar dari lapangan terbang, jabatan imigresen menahan saya dan dibawa ke pejabat mereka.

“Selepas menunggu 20 minit, mereka memberitahu SPRM menyenaraihitamkan nama saya. Apa ini? Bukankah itu dalam bidang kuasa kerajaan negeri,” kata Lim.

Lim yang kemudian dibenarkan masuk ke Sabah, mempertikaikan kenapa ada layanan berat sebelah terhadapnya.

“Najib Razak yang didapati bersalah kerana rasuah dan salah guna kuasa dibenarkan masuk, Ahmad Zahid Hamidi yang sedang dibicarakan juga boleh masuk tanpa masalah.

“Saya dihalang, adakah ini amalan berat sebelah? Kerajaan negeri ada kuasa untuk beri orang masuk, bukannya kerajaan persekutuan,” kata ahli Parlimen Bagan itu.

Lim berkata beliau akan tanya sendiri kepada ketua menteri sementara Mohd Shafie Apdal adakah beliau tidak beri pemimpin DAP masuk Sabah.

“Saya akan tanya Shafie Apdal, adakah beliau yang tidak mahu saya masuk ke Sabah,” katanya.

Lim didakwa di mahkamah bulan lalu atas tuduhan rasuah berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Isterinya Betty Chew juga dituduh atas kesalahan kes rasuah.

Mereka mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan. – 2 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen