Perniagaan di Johor Baru 'mati' akibat larangan perjalanan


Angie Tan

Bandaraya Johor Baru boleh dilihat dari tambak yang menhubungi Malaysia dan Singapura susulan sekatan perjalanan antara sempadan yang dikenakan kedua-dua negara. – Gambar EPA, 2 September, 2020.

PERNIAGAAN di Johor Baru terkesan teruk tanpa sokongan yang biasanya diterima daripada rakyat Singapura atau Malaysia yang kembali dari republik itu susulan kawalan sempadan yang ketat disebabkan pandemik Covid-19, kata persatuan peniaga.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, hampir 50% hasil perniagaan mereka berpunca daripada warga Singapura atau rakyat Malaysia yang tinggal di ibu negeri itu tetapi peraturan perjalanan ketat yang dikenakan oleh kedua-dua negara menyebabkan banyak perniagaan ditutup.

Malaysia mengenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac sementara Singapura menguatkuasakan pemutus litarnya pada 7 April.

Susulan penutupan sempadan antara kedua-dua negara selama berbulan-bulan, kira-kira 400,000 hingga 500,000 rakyat Malaysia dan Singapura, yang melakukan perjalanan antara negara untuk bekerja, tidak lagi datang ke Johor Baru.

Walaupun PKP pemulihan (PKPP) dan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur sejak lebih dari tiga bulan lalu, ekonomi Johor Baru masih lemah, kata mereka.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Johor Baru, Low Kueck Shin berkata banyak perniagaan besar di bandar ini bergantung kepada rakyat Singapura atau Malaysia yang pulang, dengan kedua-dua kumpulan itu merangkumi antara 30% hingga 50% daripada semua pendapatan.

“Mereka biasanya melintas sempadan setiap hari, kadang-kala membawa anak-anak dan keluarga pada hujung minggu untuk bersiar-siar dan berbelanja.

“Kini kami kehilangan semua pelanggan ini, pasar banyak mengalami penurunan urus niaga, mengakibatkan kerugian hingga 70%,” kata Low.

Sektor makanan dan minuman serta hiburan paling teruk terkesan, dengan anggaran 40% bar, kelab malam dan rumah urut ditutup, katanya.

“Kedai kopi tradisional Johor Baru selalunya mempunyai perniagaan yang bagus dan mereka biasa akan mula beroperasi pada awal pagi. Sekarang, anda hampir tidak dapat melihatnya.”

Pengerusi Persatuan Pengusaha Kafe dan Bar Johor Baru Cheng Sin Ai memberitahu The Malaysian Insight bahawa 40% hingga 50% daripada 300 anggota persatuan itu tidak dapat dihubungi sejak wabak itu bermula.

“Kami tidak jelas apakah mereka tutup terus atau sementara. Pihak persatuan akan terus cuba menghubungi mereka untuk mendapatkan lebih maklumat mengenai keadaan mereka,” katanya.

Cheng berkata perniagaan di kedai kopi tradisional hampir tiada peningkatan selepas PKP diperketatkan bermula dan ia percaya banyak ahlinya terpaksa menutup restoran mereka.

“Semua orang berharap sempadan akan dibuka kembali sepenuhnya selepas 31 Ogos dan perniagaan akan bertambah baik, tetapi selepas perdana menteri mengumumkan perpanjangan PKPP (hingga 31 Disember), semua harapan hilang.”

Banyak perniagaan hilang pendapatan hingga 50% kerana penutupan sempadan dan hanya bertahan dalam perniagaan makanan, katanya.

“Akan lebih sukar untuk bertahan selepas ini, selain terpaksa mengurangkan tenaga kerja, operator harus melakukan banyak pekerjaan sendiri.

“Jika perniagaan tidak dapat bertahan, maka ia akan ditutup, mengakibatkan gelombang penutupan yang lain.”

Cheng berkata, selagi sempadan tidak dibuka sepenuhnya, perniagaan selain kedai kopi tradisional juga akan terjejas.

“Pusat bandar raya Johor Baru pernah menjadi tempat membeli-belah, tetapi kini ia sangat menyeramkan. Segala jenis perniagaan runcit terjejas teruk sekarang, kerana tiada perniagaan tanpa trafik pelanggan.

“Pada setiap musim percutian sebelum ini, terdapat banyak kereta lalu lalang, tetapi sekarang semuanya sepi.” – 2 September, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen