PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin berkata walaupun kebanyakan sektor ekonomi sudah dibuka semasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), kelab malam dan pub akan terus ditutup.
Katanya, ada sektor yang akan terus ditutup sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19.
“Yang tak buka hanyalah kelab-kelab malam, pub, itu menurut saya kalau tak buka selama-lamanya pun tak apa (gurau). Kerana (di tempat itu) susah nak mengamalkan penjarakan sosial,” katanya berjenaka dan disambut gelak ketawa hadirin.
Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen PN hari ini di Kuala Lumpur.
Awal hari ini, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata polis mengeluarkan kompaun kepada 673 pesalah PKPP semalam, jumlah tertinggi selepas pelaksanaan PKP pada Mac lalu.
Katanya, kesalahan berkaitan kelab malam adalah yang terbanyak (600 orang), diikuti kesalahan penjarakan sosial (127) dan kegagalan patuh SOP peruncitan (14 kes).
“Ini menunjukkan bahawa keingkaran bertambah, mungkin rakyat telah merasakan bahawa PKPP sudah tidak ada prosedur operasi standard yang perlu dipatuhi sebab itu ramai yang dikenakan kompaun,” katanya.
Menurut Muhyiddin, kelab malam dan pub terpaksa terus ditutup kerana kesukaran pelaksanaan SOP seperti penjarakan sosial. – 1 September, 2020.
Komen