JPM suruh 1MDB terus berhutang, kata saksi


Kamles Kumar

Jabatan Perdana Menteri yang ketika itu diterajui Najib Razak mengarahkan 1MDB terus berhutang walaupun sudah mempunyai hutang yang banyak, kata saksi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 1 September, 2020.

JABATAN Perdana Menteri mengarahkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk berhutang lagi walaupun dana kekayaan negara itu sudahpun berhutang sebanyak RM32 bilion.

Arahan itu diberikan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan Azlin Alias, bekas setiausaha peribadi kanan Najib Razak dan pengarah ekonomi JPM yang menyelia hal ehwal 1MDB.

Perkara itu didedahkan bekas ketua pegawai eksekutif Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini di mahkamah tinggi.

Shahrol berkata beliau bertindak mengikut arahan supaya meneruskan penjanaan bon bernilai AS$3 bilion untuk usaha sama antara 1MDB dan Aabar Investments PJS Ltd (BVI) kerana arahan Jabatan Perdana Menteri yang diberi Low dan Azlin.

Shahrol mendedahkan perkara itu ketika sesi soal balas dibuat peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohamad.

Wan Aizuddin: Ketika itu 1MDB sudahpun mengumpul hutang sebanyak RM32 bilion, bukankah ia patut berhati-hati mengambil pinjaman lain untuk mengelak pembelian semula (saham 1MDB sendiri)?

Shahrol: Kami mengikut arahan JPM dan pemegang kepentingan untuk berbuat demikian (berhutang).

Wan Aizuddin: Bagaimana arahan ini diberi kepada anda?

Shahrol: Ada “talking points” diserahkan kepada saya oleh Jho…ada juga email daripada Azlin menyatakan butiran borang akhir JV (usaha sama) dan IPO.

Shahrol juga mendakwa beliau menerima arahan daripada Low menerusi “talking points” walaupun beliau sudah tidak bersama 1MDB dan bekerja di Pemandu untuk penjanaan dana IPO.

Tambahnya, tidak ada juga kebenaran daripada Lembaga Pengarah 1MDB untuk penggunaan AS$3 bilion bagi pembiayaan projek Tun Razak Exchange.

Wan Aizuddin: Awak juga boleh sahkan yang tiada kebenaran daripada Lembaga Pengarah 1MDB berkaitan penggunaan bon AS$3 bilion?

Shahrol: Tidak ada kebenaran khusus. Bagaimana, pernah satu ketika Azmi (bekas ketua pegawai kewangan 1MDB) memberi perkembangan terkini kepada lembaga pengarah, dia berkata dana itu akan diuruskan pengurus dana.

Wan Aizuddin: Tiada pertemuan mesyuarat tentang penggunaannya?

Shahrol: Betul.

Wan Aizuddin: Tidak ada resolusi penggunaan AS$3 bilion?

Shahrol: Betul.

Saksi berkata urus niaga dengan Aabar BVI diteruskan walaupun ada hutang disebabkan penglibatan Low.

Shahrol juga menafikan beliau meneruskan urus niaga itu kerana kepentingan peribadi dan menolak beliau memperdaya Najib.

Wan Aizuddin: Awak mengetahui dan terlibat aktif menipu 1MDB dengan memperdaya lembaga pengarah, PM (ketika itu) dan kerajaan Malaysia?

Shahrol: Saya tak setuju.

Wan Aizuddin: Awak secara sedar terlibat dengan menyembunyikan fakta daripada Lembaga Pengarah 1MDB, kerajaan dan perdana menteri (ketika itu).

Shahrol: Saya tak setuju.

Wan Aizuddin: Penyelewengan keluar dana bon AS$3 bilion dibuat dalam pengetahuan penuh awak yang bersengkongkol dengan Low dan syarikat serta Goldman Sachs.

Shahrol: Saya tak setuju.

Aabar BVI kemudian didapati adalah syarikat palsu didaftarkan di Kepulan British Virgin dan dikawal Low, dan bukanlah anak syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC) yang sepatutnya menerima dana itu.

Usaha sama antara Aabar BVI dan 1MDB tidak berjaya dimuktamadkan, tetapi ia digunakan 1MDB untuk menjana bon ketiga, diatur Goldman Sachs berjumlah AS$3 bilion lagi.

Shahrol berkata Low “terlepas daripada tindakan” 1MDB kerana beliau adalah orang kepercayaan Najib.

Najib sedang berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengayakan dirinya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah disambung esok. – 1 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen