DAP tubuh unit bantu peminjam dapatkan lanjutan pinjaman


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (kiri) dan Khoo Poay Tiong (dua dari kiri) semasa sidang media ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 1 September, 2020.

DAP menubuhkan unit khas bagi membantu mereka yang menghadapi kesulitan mendapatkan pinjaman daripada bank menjelang tamatnya moratorium, kata Khoo Poay Tiong.

Ahli Parlimen Kota Melaka itu berkata DAP menerima banyak aduan yang membawa kepada tertubuhnya laman web aduanmoratorium.com.

“Peminjam yang menghadapi masalah boleh menyenaraikan butiran mereka di laman web ini dan memberitahu kami mengenai masalah yang mereka hadapi dengan institusi kewangan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.

Selepas semua data dikumpul, analisis akan dilakukan dan kemudian akan dihantar ke Bank Negara dan kerajaan pusat, katanya.

Borang boleh dimuat turun daripada laman web dan dibahagikan kepada dua bahagian - satu adalah maklumat peribadi dan satu lagi menyenaraikan kesukaran pengadu dengan pihak bank.

Borang boleh didapati dalam empat bahasa - Bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Pada Ahad, dalam pengumuman khas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata perintah kawalan pergerakan pemulihan dilanjutkan sehingga 31 Disember.

Bulan lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata peminjam mesti mula membayar pinjaman mereka mulai Oktober kerana moratorium akan berakhir seperti dijadualkan pada 30 September.

Beliau memberitahu Parlimen yang bank sebaliknya akan mengambil pendekatan bersasar dalam membantu peminjam menyusun semula pinjaman mereka.

“Lanjutan moratorium pinjaman bank selama enam bulan lagi diperlukan kerana 8 juta individu dan syarikat Malaysia mendapat manfaat daripada moratorium pinjaman yang bernilai RM74.3 bilion” kata Lim Guan Eng.

Lim, setiausaha agung DAP, berkata moratorium pinjaman tambahan selama enam bulan akan hanya menelan belanja sebanyak RM6.4 bilion kepada bank. – 1 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen