POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang pemandu kereta yang dipercayai terlibat dalam kes langgar lari sebuah motosikal bersama pembonceng di Kilometer 56.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Kuala Lumpur pada Isnin.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Azisman Alias berkata video kemalangan itu tersebar luas di media sosial dan mencetuskan kemarahan netizen.
Beliau berkata pihaknya menjalankan siasatan berhubung maklumat video tular itu dan menahan suspek pada kira-kira 6.51 petang semalam.
“Kemalangan berlaku apabila pemandu kereta berkenaan mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kecemasan untuk memotong kenderaan di hadapan dan melanggar motosikal yang sedang menggunakan lorong kecemasan itu dan terus melarikan diri,” menurutnya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Azisman berkata mangsa iaitu penunggang dan pembonceng motosikal terbabit dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Bentong,
Tindakan pantas JSPT menahan suspek dalam kes itu meredakan kemarahan netizen terhadap pemandu kereta terbabit, menurut kenyataan itu. – Bernama, 1 September, 2020.
Komen