Lepas 3 bulan PKPP, kedai makan masih sukar pulih


Zaim Ibrahim

Peniaga mengeluh sukar bertahan kerana SOP mengehadkan kedatangan pelanggan dan moratorium bayaran balik pinjaman tidak dilanjutkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2020.

PENGUSAHA restoran dan warung makan masih sukar memulihkan perniagaan mereka walaupun  sudah tiga bulan Perintah Kawalan Pergerakan pemulihan (PKPP) berkuatkuasa.

Peniaga ini memberitahu The Malaysian Insight, mereka sukar bertahan kerana prosedur operasi standard (SOP) mengehadkan kedatangan pelanggan dan moratorium bayaran balik pinjaman tidak dilanjutkan.

Pengusaha kafe makanan Abdul Aziz Shaik Ahmad berkata, ketika perniagaan dibenar beroperasi semula pada Jun, beliau melihat keadaan sedikit pulih dan keuntungan meningkat 70%.

“Tapi pada Ogos, keuntungan kita turun semula 50% disebabkan ada kes positif Covid-19 baharu di Kedah dan Pulau Pinang.

“Walaupun di Pulau Pinang tak teruk, tapi hasil perniagaan kita menurun juga,” kata beliau merujuk kepada beberapa kluster baharu yang muncul di Kedah.

Tambahnya, penangguhan bayaran balik pinjaman yang berakhir September ini akan membimbangkan para peniaga.

“Saya rasa pengusaha restoran hanya boleh bertahan sahaja. Ketika peringkat awal PKP, walaupun rugi tapi kita ada moratorium.

“(Apabila) moratorium akan tamat nanti, peniaga yang baru buka kedai makan, saya bimbang mereka gulung tikar.

“Bagi kami pula, kami tak boleh merancang, kami tak tahu nak buat apa untuk pulihkan pendapatan kedai,” jelas pengusaha kafe Route 69 itu.

Seorang pengusaha rangkaian restoran nasi kandar, Sihabutheen Kirudu Mohamed juga melihat mereka sukar untuk pulih disebabkan keadaan tidak menentu akibat Covid-19.

Pengarah urusan Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd itu juga menjangka keadaan lebih sukar kerana tempoh moratorium untuk bayaran pinjaman berakhir bulan depan.

“Kapasiti kedai kita kurangkan hingga 50% sebab kita betul-betul ikut SOP.  Dengan moratorium tamat September ini, keadaan akan susah macam waktu awal PKP.

“Saya sendiri tidak tahu macam mana hendak hadapi keadaan ini nanti,” keluh pengusaha rangkaian Restoran Pelita itu.

Sihabutheen berkata, pada Julai hasil perniagaannya meraih 80% daripada keadaan sebelum wabak Covid 19 melanda tetapi menurun 50% akibat kluster Sivagangga.

“Perniagaan kita sangat tidak menentu. Apabila ada kluster di Kedah, SOP diperketat dan menjejaskan perniagaan kami,” katanya.

Kerajaan mengumumkan lanjutan moratarium secara bersasar 29 Julai lalu.

Dua golongan yang mendapat manfaat itu ialah individu yang kehilangan pekerjaan pada 2020 dan terjejas pendapatan akibat wabak Covid 19.

Golongan peniaga dan penjaja juga mendapat manfaat daripada lanjutan moratorium tersebut dengan syarat tertentu.

Kluster Sivagangga itu berpunca daripada seorang pemilik kedai nasi kandar di Jitra, Nezar Mohamed Sabur Batcha yang ingkar arahan kuarantin di rumah selepas pulang dari India pada 13 Julai lalu.

Lelaki terbabit dikesan orang ramai memakai gelang merah jambu berada di kedainya di pekan Napoh ketika diwajibkan menjalani perintah kuarantin 14 hari.

Susulan itu, pihak berkuasa memperketat SOP melibatkan kedai makan.

Ia menyaksikan sebuah restoran popular Hameediyah diperintahkan tutup selama seminggu selepas didapati melanggar SOP oleh pihak berkuasa tempatan

Pengusaha restoran berasa sukar untuk pulih disebabkan keadaan tidak menentu akibat Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2020.

Selain itu, sebanyak 13 premis perniagaan sekitar Seberang Perai diarahkan tutup kerana melanggar SOP.

Mengulas perkara itu, seorang penjaja tepi jalan, Hardi Ismail berkata SOP yang ketat menyebabkan pelanggan takut untuk datang ke kedai makan kerana bimbang ditangkap.

“Perniagaan di sini masih susah, SOP jarak sosial ketat jadi ada orang takut-takut nak makan, takut kena tangkap.

“Baru-baru ini di Georgetown, Bukit Mertajam, ada kedai yang terpaksa tutup sebab langgar SOP.

“Kami tak takut sebab tetap ikut SOP cuma ada pelanggan sendiri yang ingkar,” katanya yang berniaga char koay teow.

Seorang pengusaha kafe, Shamsul Munir Safini pula berkata cabaran dalam norma baharu itu tidak menjadi masalah baginya.

Pengusaha kedai Lomaq Coffee, itu berkata beliau kini lebih mengutamakan penghantaran makanan dan jika pelanggan terlalu ramai, beliau meminta mereka untuk membawanya pulang.

“Kedai ini saya buka pun dalam tempoh PKP. Jadi saya dah bersedia untuk hadapi sebarang kesukaran.

“Buat waktu sekarang, saya fokus kepada servis penghantaran makanan. Jadi orang pun tak ramai datang ke kedai sebab mereka boleh tempah melalui atas talian sahaja,” katanya.

Tambah Shamsul, beliau hanya perlu menggiatkan aktiviti promosi kerana kedainya baru sahaja dibuka.

“Kita buat iklan baharu, kita kena tengok pelanggan pun lain dalam norma yang baharu.

“Cara promosi pun bertukar dengan banyak melalui aplikasi penghantaran makanan yang ada,” tambahnya. – 1 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen