Masalah Pakatan cermin masa depan Malaysia 


Sheridan Mahavera

Umno pernah menguasai Barisan Nasional dan kemenangannya pada PRK Slim memperkukuhkan lagi dakwaan perdana menteri patut dilantik daripada parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2020.

TAHUN lalu, pemimpin DAP Liew Chin Tong meramalkan Pakatan Harapan (PH) tidak akan menjadi kerajaan sepenggal – sama ada ia akan mentadbir sekurang-kurangnya dua tahun atau separuh penggal.

Ternyata apa yang diramalkan bekas timbalan menteri pertahanan itu tepat apabila PH tumbang pada akhir Februari.

Enam bulan selepas ramalan itu terbukti benar, Liew enggan meramalkan bila PH akan kembali berkuasa atau berapa lama Perikatan Nasional (PN) akan bertahan. 

Namun Liew menyatakan pandangannya – kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan sama seperti sebelumnya dalam sejarah politik Malaysia.

Tiada lagi satu parti yang berkuasa sebagaimana Umno mendominasi gabungan Barisan Nasional. 

Perdana menteri tidak lagi dilantik secara automatik daripada satu parti  – sebagaimana enam bekas presiden Umno – tetapi calon yang dipersetujui oleh semua parti dalam gabungan, kata Liew. 

“Kebiasaan baharu” dalam politik ini dicipta PH dan ia mencerminkan pendirian gabngan itu hari ini, kata Liew. 

PH hanya memerlukan tiga kerusi dengan majoriti Parlimen untuk kembali namun tidak bersetuju dengan sekutu Parti Pejuang Tanah Air Malaysia (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) mengenai calon perdana menteri.

Pemimpin PH, Khalid Samad dan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, gabungan itu kini aktif mengejar tiga kerusi Parlimen dan secara agresif memantau kerajaan PN. 

Namun, mereka mengakui calon perdana menteri menjadi rintangan gabungan itu dan sekutu pembangkang kini berusaha untuk mengatasinya. 

“Kebuntuan politik bukan sahaja berlaku dalam PH. PN turut menghadapi cabaran yang sama sebagaimana yang dilihat dalam Bersatu dan Umno dilihat bertelagah untuk menguasai kerajaan,” kata Liew yang juga pengarah pendidikan politik DAP.

Oleh kerana Umno terbiasa menjadi yang berkuasa di antara sekutunya sepanjang perjalanan politiknya, ia bergelut untuk menerima bahawa ia berada dalam kerajaan yang mana perdana menteri dan timbalan bukan daripada parti itu, katanya.

PH mempunyai peluang dalam landskap politik baharu yang mana parti politik sama kuat bekerjasama dalam satu gabungan namun ia masih sukar kerana dinamik seperti itu adalah masih baru.

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal merupakan calon perdana menteri pilihan Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2020.

“Malaysia masih belum membentuk budaya atau struktur politik bagi menggantikan pemerintahan satu parti kerana sejak merdeka hanya itu sahaja yang kita ada,” kata Liew. 

“Ia adalah sebuah budaya yang perlu disemai dalam semua parti politik dan penjawat awam, masyarakat sivil dan juga pengundi. Ia bukan sesuatu yang boleh dibuat dalam tempoh yang singkat.”

Bercakap benar untuk berkuasa

Selepas kerajaannya tumbang, hanya tinggal tiga parti dalam PH iaitu PKR, DAP dan Amanah.

Mohamed Azmin Ali dan Muhyiddin Yassin menubuhkan PN bersama bekas pesaingnya Umno, PAS dan GPS.

Dalam usaha untuk kembali berkuasa, PH menubuhkan gabungan tak rasmi dipanggil “Pakatan PLUS” bersama Warisan dan Pejuang – yang ditubuhkan bersama bekas ahli Parlimen Bersatu yang setia dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. 

Pakatan PLUS kini mempunyai 109 ahli Parlimen manakala kerajaan PN mempunyai majoriti tipis 112 kerusi di Dewan Rakyat.

PH menamakan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri manakala Warisan dan Pejuang mahukan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, pakatan tidak pernah berputus asa dalam usaha untuk menawan kembali Putrajaya kerana rasa bertanggungjawab untuk kembalikan mandat rakyat pada PRU14.

“Persoalannya sekarang bagaimana kita mahu mendapatkan tiga kerusi? Kita masih cuba mendapatkannya walaupun ia tidak dibincangkan secara terbuka. Kami bertanggungjawab untuk memastikan kerajaan disemak,” katanya yang juga ahli Parlimen Shah Alam.

Khalid berkata kem Anwar dan puak Dr Mahthir dalam Pakatan PLUS mencari keajaiban dan sekiranya ia berlaku, rundingan untuk calon perdana menteri akan dibuat semula.

“Namun sementara menunggu ia berlaku, kami tetap bersedia untuk berdepan kemungkinan PRU15 diadakan awal dan kita sedang mainkan peranan di Parlimen. 

“Kita sudah mengarahkan ahli akar umbi untuk memulakan jentera dan mengumpul data untuk pilihan raya umum. Pilihan raya kecil Slim adalah cara terbaik untuk mempersiapkan jentera kita.”

Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi berkata ia bukan mudah untuk menjatuhkan perdana menteri dan kerajaan namun PKR percaya ia perlu dilakukan. 

“Kami di PKR percaya untuk memainkan dua peranan tersebut – untuk kembalikan mandat dan menjadi pembangkang yang efektif. Kami turut berkempen secara agresif untuk membantu rakan kami Warisan kekal di Sabah,” katanya merujuk kepada pilihan raya negeri Sabah yang dijadualkan 26 September ini.

“Kita perlu semak kerajaan berkuasa sementara cuba untuk kembali berkuasa,” kata ahli Parlimen Setiawangsa itu. – 1 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen