Adakah kita sudah merdeka?


Haris Hauzah

KEMERDEKAAN bukanlah penghujung sesuatu perjuangan. Ia malah hanyalah suatu permulaan perjalanan panjang yang menuntut kita agar tidak sembrono lari dari keinginan untuk pulang dan terus-menerus mengisi kemerdekaan itu dengan jutaan kebahagian.

Satu persoalan yang sering dipertanyakan ketika datangnya sambutan kemerdekaan ini: apakah kita benar-benar telah merdeka?

Andai kita punyai kesempatan – dapat mencuri beberapa sela masa sibuk dengan segala urusan kerja dan keluarga, memberanikan diri untuk membuka semula gerobok dan almari lama milik orang tua kita, cuba mengumpul kekuatan untuk membaca semula majalah dan buku-buku lama milik mereka – tentu kita dapat belajar beberapa pengajaran yang sangat berharga tentang erti dan makna kemerdekaan buat mereka. 

Bahkan lebih dari itu, kita mungkin saja dapat mencuri cebisan-cebisan rasa yang takkan dapat kita rasa lagi hari ini di mana-mana, walau kita berdiri di tengah gerombolan manusia di padang Dataran Merdeka, menyambut kemerdekaan negara bersama pemimpin negara sambil memegang bendera.

Jangan mimpi kita akan dapat ketemu dan menghidu dengan rasa itu lagi, walau ada jutaan manusia keluar menikmati malam ambang merdeka bertemankan percikan bunga api bersama keluarga dan kekasih hati. 

Ada suatu ketulenan rasa bebas dan keaslian rasa merdeka yang memang tidak akan dapat kita jumpa pada mana-mana rombongan VIP, orang kanan parti yang bertempik dalam pilihan raya meminta kuasa.

Mungkin menurut sesetengah orang, apa yang dirasai oleh tok nenek dan ibu bapa kita sudah tidak lagi relevan. Kerana apa yang lebih utama kini adalah apa yang kita rasa. Sebab apa yang hari ini jadi keutamaan adalah kata-kata seorang presiden dan ketua yang ada kuasa. 

Kemerdekaan hari ini adalah kemerdekaan kita, kebebasan dan kemerdekaan yang hanya berkisar tentang pengaruh dan kuasa.

Inilah bahagian dalam pengisisan kemerdekaan yang ingin dipersoalkan mengapa.

Terdapat satu bab berjudul Gila, Pandir dan Sasau dalam novel Anak Mat Lela Gila karya Ishak Haji Muhammad. Pengarang hebat yang lebih dikenal dengan nama Pak Sako itu ada membabarkan perihal gila, pandir dan sasau dalam satu rangkap dialog yang wajar untuk kita semua selam dan fahamkan bersama:

“Alangkah payahnya hendak menerangkan makna perkataan-perkataan yang di atas ini (Gila, Pandir dan Sasau) teristimewa pada zaman sekarang kerana banyak benar perkara-perkara dan perbuatan-perbuatan yang dikaitkan atau dicantumkan dengan perkataan-perkataan itu seperti dikata, gila perempuan, gila pangkat, gila kebangsaan, gila talak, gila agama, hingga dunia sekarang pun pernah dikata dunia gila? Siapakah yang tidak pandir dan siapakah yang tidak sasau pada zaman kini?”

Takrifan gila, pandir dan sasau dalam novel Anak Mat Lela Gila memang menggamamkan. Ia amat mengejutkan kerana kandungan intisarinya menerawang terbang merentasi medan politik dan sosial zaman dan masa.

Keanehan manusia dan persekitaran suasana banyak bergantung kepada sudut pandang yang dibentuk oleh kefahaman pemikiran arus perdana masyarakatnya. 

Dalam kes ini, karektor Mat Lela adalah seorang penongkah arus yang radikal. Justeru itu dia dianggap aneh, berlainan, pelik malah gila kerana segala apa yang dilakukannya sukar untuk untuk diterima lantas kerana Mat Lela benar-benar menolak kebendaan berupa kekayaan, kekuasaan dan pengaruh yang digilai seluruh manusia. 

Mat Lela mahu merdeka daripada kesengsaraan jiwa yang ditanggungnya kerana melihat kebendaan itulah yang menghancurkan kemerdekaan bangsa. Kemerdekaan yang salah diisi dengan kebendaan bakal akan membawa sengsara.

Justeru kemerdekaan jenis apa yang sebenarnya hari ini mahu kita rai dan rasa, kerana mana datangnya kegembiraan dan bahagia yang dapat diisi dalam kemerdekaan kita, seandainya masyarakat di atas sana kebobrokan pangkat dan kuasa.

Bagaimana dapat kita rasa kemerdekaan ke-63 tahun ini bermakna, sekiranya orang politik yang kita ada hanya sibuk melompat dan merebut kuasa. 

Keutamaan mereka hanyalah mengumpulkan kekuatan parti untuk jadi besar, berdaya dan dominan. Sementara pada masa sama, korupsi dan salah guna kuasa dalam kalangan mereka terus berleluasa.

Barang sesiapa yang tidak turut serta bersama mereka adalah Mat Lela. Orang politik yang tidak sibuk menompok-nompok harta benda hasil dari kerja politik mereka adalah gila. Pemimpin yang berusaha untuk setia dengan keadilan dan kebenaran kerana percaya mandat rakyat tidak harus diperdaya sewenang-wenangnya dikata tak bijak pula.

Kebebasan hari ini ternyata sudah hilang erti. Apabila menteri bebas untuk melakukan apa saja yang mereka suka. Sebagaimana kemerdekaan sudah tidak lagi bermakna apabila takhta dan harta jadi tujuan paling utama pada pimpinan politik negara.

Merdeka apa yang mahu kita rangkul dan letakkan ke riba, seandainya kata-kata dalam novel Pak Sako ini tak rasa ngilu bila kita mendengarnya:

“Apabila kita berpecah-belah maka puak-puak kita pun jadi kecil; kampung halaman, rumah, periuk, dan bilangan kita jadi kecil; dan hati serta cita-cita atau angan-angan kita pun jadi kecil.” 

Itulah kita rakyat Malaysia hari ini yang menyambut kemerdekaan negara yang ke-63.

Kita tidak bercita-cita besar, kerana apa yang kita kejar hanyalah kuasa yang sia-sia. Kita bergaduh sesama kita demi untuk mendapatkan kuasa bagi mengkayakan orang-orang politik yang kemarukkan kebendaan dunia.

Pada hari kemerdekaan ke-63 ini, adakah kita telah benar-benar merdeka sebenarnya? – 31 Ogos, 2020.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen