Pasukan keselamatan Lubnan ‘hadiahkan’ gas pemedih mata kepada rakyat sendiri


Pasukan keselamatan terpaksa menembak gas pemedih mata kepada penunjuk perasaan yang berdemonstrasi di Kedutaan Amerika Syarikat di Akwar, pinggir bandar Beirut, Lubnan. – Gambar AFP, 10 Disember, 2017.

PASUKAN keselamatan Lubnan hari ini menembak gas pemedih mata kepada rakyatnya sendiri yang menunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Beirut, Lubnan.

Menurut wakil AFP, ratusan penunjuk perasaan hadir di situ bagi menyatakan bantahan terhadap keputusan Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Mereka dihalang dari menghampiri bangunan itu oleh pagar besi yang dipasang di jalan raya berdekatan kedutaan AS itu. Bagi mengelakkan penunjuk perasaan yang ingin merempuh pagar besi itu, pasukan keselamatan terpaksa menembak gas pemedih mata dan meriam air.

Tambah wakil AFP itu lagi, Beberapa orang cedera akibat terkena batu yang dibaling oleh penunjuk perasaan, selain terkena gas pemedih mata oleh pasukan keselamatan Lubnan.

Rata-rata penunjuk perasaan itu mengibarkan bendera Palestin dan Lubnan, berpakaian hitam-putih dan menutup muka dengan selendang sambil melaungkan slogan mengutuk Presiden AS Donald Trump.

Pada Rabu lalu, seluruh dunia Islam dikejutkan dengan pengumuman Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara baharu Israel.

Tindakan itu mencetuskan amarah rakyat Lubnan, selain warga dunia Islam lain.

Antara penunjuk perasaan yang terlibat di situ terdiri daripada parti politik Palestin, selain parti Islam Lubnan dan parti berhaluan kiri Lubnan.

Beratus ribu pelarian Palestin menetap di Lubnan termasuk mereka yang lari atau dibuang negeri selepas penubuhan Israel.

Pada 2006, Israel berperang dengan Hizbullah di Lubnan yang mengakibatkan kematian 1,200 rakyat Lubnan yang kebanyakannya orang awam, manakala disebelah Israel pula seramai 120 orang mati yang kebanyakannya adalah anggota tentera. – AFP, 10 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen