Bomba Sarawak tubuh MOCSAR Taman Negara Mulu


Desmond Davidson

Unit MOCSAR Taman Negara Mulu ditubuhkan pada 12 Julai, genap setahun selepas kejadian banjir kilat di taman itu, yang meragut nyawa seorang warga Denmark dan seorang pemandu pelancong tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2020.

KEMATIAN seorang pelancong Belanda dan pemandu pelancong tempatan dalam kejadian banjir kilat di Taman Negara Mulu pada Julai tahun lalu menguji kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Kejadian tersebut menguji kemampuan anggota yang terlibat dalam SAR selama empat hari itu, yang kini berada dalam Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (MOCSAR) Taman Negara Mulu.

Pasukan tersebut ditubuhkan susulan kejadian banjit kilat itu, kata Pengarah JBPM Sarawak Khirudin Drahman kepada The Malaysian Insight.

“Ketika itu kami tidak cukup bersedia,” katanya, mengulas kejadian yang berlaku pada 12 Julai tahun lalu.

“Kejadian itu tidak pernah kami bayangkan sebelum ini berlaku di Sarawak.

“Kami hantar pasukan mencari dan menyelamat yang langsung tiada pengalaman menjalankan operasi di kawasan itu, apatah lagi pengetahuan tentang bahaya dalam gua,” tambah Khirudin.

Unit MOCSAR baru dua bulan ditubuhkan, iaitu pada 12 Julai lalu, genap setahun kejadian banjir kilat yang meragut nyawa Peter Hans Hovenkamp, 66, dari Denmark dan pemandu pelancong rakyat tempatan  Roviezal Robin, 20.

“Anggota yang dihantar ketika itu ada asas operasi menyelamat di gunung, tetapi tidak di gua,” kata Khirudin.

Beliau berkata seramai 16 orang anggota JBPM dari Miri dan Marudi dihantar bersama peralatan yang kebanyakannya tidak sesuai digunakan untuk operasi menyelamat di gua.

Menurut Khirudin, anggotanya pasti berdepan situasi lebih buruk jika tidak dibantu jurupandu gua.

Saat paling sukar semasa operasi SAR kejadian tahun lalu itu adalah apabila gua dinaiki air. 

Jurupandu gua yang menyertai operasi menggunakan kepakaran mereka memastikan anggota bomba dalam keadaan selamat. Mereka diketuai oleh pengurus Taman Negara Mulu, Hein Getsner. – 30 Ogos, 2020.

Berita penuh di sini.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen