Reformasi media sosial Kelantan 


Zainal Rashid Ahmad

KETIKA media massa terutama bilik berita stesen TV dan akhbar di Kuala Lumpur secara senyap-senyap sedang mengatur persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) - Kelantan nampak tenang. 

Malah, Kelantan langsung tidak mengendahkan suasana pilihan raya dan keadaan politik di Slim River. Isu Sabah pun bukan agenda di kalangan ahli politik negeri ini. 

Kelantan sedang menyusun banyak perkara baharu untuk menggerakkan pembaharuan dan reformasi media sosial di peringkat kerajaan negeri. 

“Kita nampak keperluan mendadak reformasi media sosial kerana Kelantan kini harus berperanan sebagai sumber rujukan ‘Membangun Bersama Islam’ bagi mewakili Pakatan Nasional (PN),” kata sumber yang rapat dengan jentera pilihan raya negeri. 

Malah, berdasarkan informasi dan gerak kerja PAS Pusat, tiada tanda-tanda parti itu sedang bersiap sedia menghadapi pilihan raya dalam masa terdekat. 

“Tak mungkin PRU15 sekarang,” kata sumber yang rapat dengan jentera pilihan raya negeri. 

Tiga kali mengunjungi Kelantan dan menghabiskan banyak masa dengan veteran PAS dan anak-anak muda yang menggerakkan jentera media massa kerajaan negeri - isu PRU15 langsung tidak dibualkan. 

“KL tempat khabar angin mudah direka. Apa lagi oleh puak tertentu serta jentera media yang dibayar untuk menggembar-gemburkan berita,” kata bekas Adun negeri. 

Dalam banyak sesi mengopi bersama beberapa wakil media Adun dan exco negeri - jelas sekali PRU15 tidak berada dalam radius orang Kelantan. 

“Fokus YB kami ialah menjadikan Kelantan teladan dan bersedia di media sosial kerana DAP akan menggunakan isu negara Islam dan hudud sebagai propaganda politik anti PN,” kata seorang Adun. 

Melihat langkah Kelantan bersiap sedia mereformasikan agenda media sosial sesuatu yang menghairankan. 

Apa lagi ketika pasukan media sosial parti politik lain sudah lama bersedia. Malah, sudah berfungsi secara prominan sejak PRU13. 

“Dahulu, di Kelantan, tidak timbul isu media sosial kerana rakyat Kelantan mempunyai sumber langsung untuk merujuk maklumat. 

“Institusi masjid, surau dan sekolah pondok sentiasa bersedia memberikan pencerahan pada setiap isu dan orang Kelantan merujuk ke situ,” kata sumber jentera pilihan raya PAS. 

Menurutnya, tradisi komunikasi dan penjelasan yang mengukuh di masjid, surau dan sekolah pondok menyebabkan PAS tidak risau kaedah menangani isu semasa peringkat negeri. 

“Cuma sekarang, PAS sudah dalam PN dan kita kena menyumbang di peringkat nasional terutama agenda mempromosi Kelantan di media sosial,” kata veteran PAS yang lama berkhidmat sebagai Adun. 

Reformasi media sosial di Kelantan sekarang ialah menjadikan agenda dan aktiviti kerajaan negeri sebagai model Islam yang perlu diteladani. 

Sekaligus menyedarkan masyarakat bukan Islam di seluruh negara untuk tidak curiga dengan peranan PAS dalam PN. 

“Kita akan promosi agenda ‘Membangun Bersama Islam’ sebagai konsep pentadbiran yang adil dan memberi manfaat kepada semua tanpa mengira agama dan bangsa,” kata seorang Adun. – 30 Ogos 2020.
 

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen